FADHLINA Sidek ketika meninjau bangunan SMSAS yang musnah akibat kebakaran hari ini. - Foto: FB Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan peruntukan berjumlah RM250,000 untuk pelaksanaan kerja baik pulih bangunan pentadbiran dan bilik guru di Sekolah Menengah Sains Alam Shah (SMSAS) yang munsah dalam kebakaran semalam.

Dalam masa sama, Menterinya, Fadhlina Sidek turut memberi jaminan kerosakan akibat kejadian kebakaran itu akan diperbaiki segera.

“Tiada kompromi! Aspek keselamatan, kesejahteraan serta kebajikan murid, guru dan seluruh warga sekolah perlu dipastikan dalam keadaan yang terbaik,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Fadhlina turun padang meninjau kerosakan di sekolah itu hari ini dan melahirkan rasa sayu melihat kerosakan pada bangunan pentadbiran, dewan dan infrastruktur-infrastruktur lain.

KEADAAN bangunan SMSAS yang musnah akibat kebakaran dalam kejadian awal pagi semalam. – Foto: FB Fadhlina Sidek

Menurut beliau, ketika ini para guru sekolah berkenaan telah dipindahkan ke ruang sementara.

“Syabas kepada semua guru yang terus bersemangat dan komited memastikan pengoperasian sekolah tidak terganggu serta dapat berjalan seperti biasa,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi semalam, bangunan pentadbiran SMSAS di Cheras, dekat sini musnah terbakar, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak, Mohd Azizi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 pagi sebelum tiga jentera dari BBP Bandar Tun Razak, BBP Hang Tuah dan BBP Cheras bersama dua unit tangki air dan satu unit EMRS digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, kebakaran membabitkan bangunan pentadbiran sekolah yang menempatkan bilik guru, bilik mesyuarat, bilik fail dan beberapa bilik lain yang memusnahkan 100 peratus struktur bangunan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast