Mohamad Fawwaz Mohamad Jan

BUTTERWORTH – Pas Pulau Pinang mencadangkan supaya kerajaan menangguhkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang menelan kos RM17.3 bilion dan memberi keutamaan kepada kerja-kerja menaik taraf Lebuhraya Timur–Barat (Gerik–Jeli).

Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, cadangan itu dikemukakan susulan nahas tragis membabitkan sebuah bas pelajar dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada Isnin lalu.

“Tangguhan projek LRT dan beri keutamaan kepada naik taraf jalan Gerik-Jeli itu yang lebih mendesak demi keselamatan rakyat,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Tambah beliau, kerajaan juga digesa mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menangani isu keselamatan pengangkutan awam.

Katanya, kejadian tersebut bukan sekadar satu kemalangan biasa, sebaliknya mencerminkan kegagalan sistemik dalam aspek keselamatan dan pemantauan pengangkutan awam di negara ini.

“Insiden seperti ini boleh dielakkan jika langkah pencegahan diambil dari awal dan penguatkuasaan dilakukan secara tegas.

“Justeru kerajaan perlu mengambil tindakan dengan melaksanakan penilaian semula terhadap kelayakan, rekod syarikat pengendali bas di samping menyediakan latihan berkala dan berstruktur kepada para pemandu.

“Kerajaan perlu memastikan infrastruktur jalan raya khususnya di kawasan berisiko tinggi diselenggara dengan baik serta dilengkapi pencahayaan yang mencukupi bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Mengulas lanjut Muhammad Fawwaz berkata, sebagai langkah jangka panjang, kerajaan juga perlu memperkenalkan dasar keselamatan pengangkutan awam yang berasaskan prinsip Islam seperti keadilan, amanah dan tanggungjawab sosial.

“Ia termasuk penubuhan sebuah badan pemantau bebas yang diberi tanggungjawab untuk menilai dan mengaudit operasi syarikat pengangkutan awam secara berkala,” katanya.

Artikel: PDRM, JPJ jalankan siasatan berasingan nahas ragut 15 nyawa pelajar UPSI

Jalan gelap bukan punca nahas ragut nyawa 15 pelajar UPSI – JKR

Isnin lalu, negara dikejutkan dengan tragedi kemalangan membabitkan bas yang membawa pelajar UPSI terbabas dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak

Tragedi menyayat hati itu meragut 15 nyawa pelajar UPSI, manakala 29 lagi cedera, menjadikan keseluruhan mangsa seramai 44 orang.

Daripada jumlah itu, 13 mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas berkenaan melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan MPV jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan dan terbabas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast