Foto: FB PHM

KUALA LUMPUR – Perbuatan membasuh atau membuang sisa haiwan korban ke dalam sungai adalah bertentangan dengan dalil syarak yang menuntut manusia memakmurkan bumi serta tidak melakukan perkara-perkara yang boleh memusnahkan alam sekitar.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam kenyataan di laman sosial Facebook hari ini memaklumkan, secara logik jika ramai individu yang mengambil langkah mudah untuk membuang sisa ke dalam sungai, maka sungai tersebut kemudiannya akan dilimpahi dengan kotoran dan sampah-sarap.

Tambahnya, keadaan itu akan memusnahkan biodiversiti di sekeliling sungai tersebut, bahkan berisiko mengakibatkan ancaman atau mudarat yang lebih besar kepada manusia.

“Sebarang bentuk perbuatan yang boleh mencemar atau merosakkan alam sekitar adalah haram dalam syariat Islam.

“Hal ini kerana ia menyalahi nas syarak, menimbulkan mafsadah dan menyalahi maqasid ‘imarah iaitu tanggungjawab untuk melestarikan alam sekitar,” katanya.

Terdahulu, isu berkenaan proses pembersihan dan pengurusan sisa haiwan korban di sungai pada sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, mencetuskan perdebatan dalam media sosial.

Perbuatan itu menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak kerana boleh menjadi punca kepada pencemaran sungai dan menjejaskan pihak-pihak lain yang mungkin bergantung kepada air sungai tersebut.

Bagaimanapun, kenyataan itu menambah, terdapat situasi tertentu yang boleh dimaafkan berhubung proses pembersihan dan pengurusan sisa korban di sungai.

Antaranya, katanya, disebabkan oleh ketiadaan sistem pengurusan sisa yang efisien, penyimpanan sisa di dalam premis boleh menimbulkan kesusahan atau kemudaratan kepada pemilik dan tidak berbahaya kepada alam sekeliling.

“Sesuatu yang jelas, pembinaan sebuah masyarakat yang memahami tuntutan agama dan memiliki jiwa pelindung terhadap alam sekitar menjadi faktor yang penting dalam merealisasikan agenda kelestarian alam,” katanya.

Tambah kenyataan itu, secara asasnya, alam sekitar merupakan amanah daripada Allah SWT ke atas manusia sebagai khalifah yang ditugaskan untuk mentadbir dan memakmurkan bumi.

Katanya, syariat Islam amat menitikberatkan tuntutan ke atas manusia untuk memakmurkan bumi dan memelihara alam sekitar dengan sebaiknya.

“Bahkan umat Islam seharusnya menjuarai wacana berhubung kelestarian alam bagi membina paradigma atau perspektif yang sahih berkenaan konsep pencinta alam, lalu menjadi contoh serta ikutan oleh masyarakat lain,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast