Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Subvarian Covid-19 yang baharu iaitu JN.1 tidak merbahaya berbanding varian sebelum ini.

Justeru Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan masyarakat tidak perlu bimbang dengan penularannya.

Jelasnya, walaupun kebelakangan terdapat peningkatan kes Covid-19 dalam komuniti namun purata kes mingguan kekal di bawah paras amaran kebangsaan.

“Setakat ini tiada kematian dilaporkan. Situasi ini adalah selaras dengan peralihan fasa hidup bersama Covid-19,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut KKM, jangkitan akan dapat dikawal dengan memastikan tahap imunisasi dalam tubuh adalah baik.

Sehubungan itu, KKM menggalakkan supaya golongan berisiko tinggi mendapatkan suntikan dos tambahan imunisasi Covid 19 bagi mengurangkan risiko jangkitan, komplikasi serius dan kematian akibat jangkitannya.

“Pemberian vaksin Covid-19 digalakkan kepada golongan berisiko tinggi yang terdiri daripada individu yang belum pernah menerima vaksin sebelum ini.

“Golongan tersebut termasuklah individu berumur 18 tahun dan ke atas, serta individu berumur 12 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi atau mengalami masalah sistem imun yang terjejas (immunocompromised), ibu hamil dan anggota kesihatan terutamanya mereka yang mempunyai kontak secara langsung dengan pesakit,” ujarnya.

Selain itu, pemberian vaksin Covid-19 juga disyorkan kepada individu yang pernah menerima vaksin Covid-19 sebelum ini.

“Mereka terdiri daripada individu berumur 60 tahun dan ke atas, individu berumur 18 tahun dan ke atas dengan komorbiditi, individu berumur 12 tahun dan ke atas dalam kategori immunocompromised, ibu hamil dan anggota kesihatan,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, KKM menasihatkan orang ramai terus mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 dengan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau sanitasi tangan, mengamalkan etika batuk serta memakai pelitup muka jika bergejala atau ketika berada di tempat sesak.

“Langkah-langkah ini penting untuk melindungi diri sendiri dan masyarakat daripada penularan Covid-19,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast