JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Singapura akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan jenayah susulan tindakannya menendang sebuah kereta di kawasan Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan 8 Jun lalu, setelah video pergaduhan di tepi jalan itu dimuat naik dalam Facebook menerusi akaun pemilik akaun Vicky Sing.
“Video berkenaan menunjukkan dua lelaki bertengkar di lokasi kejadian sebelum salah seorang daripadanya bertindak menendang sebuah kereta.
“Kejadian dilaporkan berlaku pukul 2.39 petang, pada 7 Jun 2025 setelah suspek dikatakan membunyikan hon berulang kali kerana mendakwa laluan kenderaannya dihalang, sebelum berlaku pertengkaran mulut dan insiden kerosakan harta.
“Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun, kemudiannya membuat laporan polis mendakwa keretanya jenis BMW ditendang suspek sehingga mengalami kerosakan yang dianggarkan bernilai RM9,300.00,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya juga didapati negatif.
Perintah reman selama empat hari telah dikeluarkan bermula Isnin lalu bagi membantu siasatan, katanya.
“Suspek akan dituduh hari ini mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali;m dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan perkataan atau isyarat yang mengaibkan kehormatan seseorang, dengan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.
Polis turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu serta menyeru pengguna jalan raya agar bersikap berhemah dan mengelakkan tindakan agresif yang boleh menjejaskan keselamatan awam.- MalaysiaGazette
















