PEKAN – Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat kehilangan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, Muhammad Harraz Ruslan Kamal untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa yang dibuat bapanya pada jam 12.09 tengah malam semalam.
“Kali terakhir Muhammad Harraz dilihat adalah pada hari Selasa, kira-kira jam 3.15 petang di rumahnya di Taman Chendor Perdana, Kuantan sebelum bapanya itu keluar untuk menjemput adik kepada Muhammad Harraz dari sekolah.
“Namun, ketika bapanya pulang semula ke rumah kira-kira pukul 3.30 petang, dia mendapati Muhammad Harraz tiada di rumah dan tidak dapat dihubungi kerana telefonnya ditutup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, bapa mangsa kemudian mencarinya di sekitar tempat tinggal mereka, bertanya pada kawan-kawan dan pergi mencarinya di Pantai Teluk Moknik, Kemaman, namun anak keduanya itu masih gagal ditemui.
Susulan itu, katanya, bapa mangsa kemudian hadir ke balai polis membuat laporan kerana bimbang akan keselamatan anak kedua daripada tiga beradik itu.
“Siasatan awal mendapati, punca mangsa keluar melarikan diri disebabkan dimarahi bapanya kerana menghisap vape,” katanya lagi.
Beliau berkata, kali terakhir mangsa dilihat berpakaian seluar sukan warna hitam dan berkemeja T putih.
Mangsa dikatakan keluar dari rumah hanya membawa telefon bimbit jenis Oppo Reno, Power Bank dan sedikit wang tunai. – MalaysiaGazette
















