Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kemungkinan penipuan dan salah guna kuasa yang berlaku dalam siasatan dan pendakwaan ke atas Muhammed Yusoff Rawther.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya terbukti wujud elemen tersebut, kesemua mereka yang terlibat dan dalang utamanya mesti dihukum dengan seberat-berat hukuman.

Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) berkenaan, beliau bimbang Malaysia berkemungkinan menjadi negara gestapo dengan kewujudan anasir-anasir tidak senonoh dalam agensi-agensi penguat kuasa yang mengikut telunjuk penguasa politik secara membuta tuli.

“Untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara hukum, adalah penting agensi-agensi penguatkuasa yang tugasnya adalah semata-mata untuk menegakkan undang-undang dan keadilan dibersihkan daripada anasir-anasir jahat ini.

“Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, susulan pembebasan Muhammed Yusoff oleh mahkamah, perlu ada jaminan daripada pihak berkuasa bahawa keselamatan beliau mestilah dilindungi.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyentuh mengenai bukti-bukti yang dikemukakan di mahkamah oleh pihak pendakwaan untuk menyabitkan kesalahan jenayah yang kononnya dilakukan oleh Muhammed Yusof Rawther yang disifatkan amat diragui.

Jelasnya, situasi itu menimbulkan persepsi awam bahawa pendakwaan tersebut adalah satu konspirasi jahat pihak-pihak tertentu untuk menutup mulut Muhammed Yusof berkait saman sivilnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, dakwanya, keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhammed Yusof tanpa perlu membela diri mengesahkan keraguan itu.

“Pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie berkemungkinan besar kerana bukti-bukti yang dikemukakan adalah direka untuk menyabitkan kesalahan.

“Ini adalah bukti jelas kebobrokan kuasa,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, ia juga memperlihatkan bagaimana institusi negara dan instrumen undang-undang digunakan secara rakus tanpa sedikit pun rasa malu dan belas ihsan untuk menganiaya seorang rakyat yang tidak bersalah semata-mata untuk melindungi sang penguasa.

Lebih mengecewakan, ujarnya, tuduhan jenayah berat yang membawa hukuman penjara seumur hidup digunakan.

“Undang-undang dan institusi negara yang sepatutnya menjadi pelindung rakyat dan penegak keadilan telah ditukar menjadi alat kezaliman oleh rejim Madani.

“Janji reformasi dan keadilan untuk semua adalah hipokrasi terbesar rejim ini,” katanya.

Mahkamah Tinggi semalam melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.

Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff, 32, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.

Dia juga menghadapi satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara pada pukul 9.25 pagi, 6 September 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast