mahasiswa
Che Mohamad Zulkifly Jusoh

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati proses mahkamah dengan tidak terus mencari alasan menangguhkan perbicaraan kes sivil melibatkan dakwaan serangan seksual terhadap Muhammad Yusoff Rawther yang dihadapi beliau.

Ketua Portfolio Undang-Undang (Blok Pembangkang), Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, rakyat berhak mengetahui kebenaran kes itu melalui satu proses kehakiman yang telus, adil dan tidak diganggu oleh kedudukan politik mana-mana pihak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Besut menambah, sebagai Perdana Menteri, Anwar seharusnya menjadi contoh kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

Ujarnya, permohonan menangguhkan perbicaraan itu juga boleh ditafsir sebagai cubaan melengahkan keadilan serta memberi gambaran negatif terhadap sistem kehakiman negara.

“Perikatan Nasional memandang serius perkembangan ini yang bukan sahaja mencetuskan persoalan tentang integriti dan akauntabiliti seorang pemimpin tertinggi negara, tetapi ia boleh mengundang gambaran pelbagai pihak bahawa beliau cuba mengelak daripada menghadapi proses perundangan yang sepatutnya berjalan tanpa campur tangan atau pengaruh politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lebih membimbangkan, tambah Che Mohamad Zulkifly, tindakan Anwar itu juga mencetuskan persoalan tentang kebebasan institusi kehakiman apabila individu berkedudukan tinggi seperti Perdana Menteri seolah-olah diberi keistimewaan berbanding rakyat biasa.

Jelasnya, ia merupakan satu perkembangan yang amat mendukacitakan dan bercanggah dengan prinsip reformasi institusi yang dicanang Anwar sendiri.

“Perikatan Nasional akan terus memantau perkembangan kes ini dan menyeru pihak mahkamah untuk mempertahankan kebebasan dan integriti institusi kehakiman negara daripada sebarang tekanan politik,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan kes saman yang dikemukakan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Supang Lian memerintahkan semua prosiding termasuk perbicaraan saman di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara, sehingga perbicaraan penuh penangguhan didengar dan diputuskan pada 21 Julai ini di mahkamah sama.

Anwar memohon menangguhkan perbicaraan itu sementara rayuannya bagi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman, diputuskan Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast