Bergambar kenangan sempena Majlis Perasmian Hari TVET Negara 2025 bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menggalas amanah negara menerajui dan menjayakan inisiatif terbaharu dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal an Vokasional (TVET) Negara 2025 menerusi bidang Kecerdasan Buatan dan
Keselamatan Siber.

Peluncuran inisiatif terbaharu TVET Negara 2025 dan peluncuran Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) UTeM ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Majlis Perasmian Hari TVET Negara 2025 bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, UTeM sentiasa komited dan menzahirkan peranan besar dalam menjayakan aspirasi TVET Negara menerusi FAIX.

Jelasnya, peranan kami bukan hanya tertumpu dalam menjayakan inisiatif terbaharu TVET Negara dalam aspek akademik, penyelidikan dan inovasi dalam bidang Kecerdasaran Buatan dan Keselamatan Siber semata-mata malahan lebih dari itu.

“UTeM turut menjadi tunjang Malaysia dalam menyediakan tenaga kerja profesional mahir dalam bidang ini berasaskan teknologi melalui pendekatan TVET yang komprehensif dan adaptif.

“Penubuhan FAIX turut memperkukuh kepentingan AI Gunaan (Applied AI) yang merentas pelbagai disiplin, termasuk kejuruteraan, perniagaan, automasi dan sistem pintar,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pendekatan rentas disiplin adalah kunci dalam menyediakan penyelesaian teknologi yang menyeluruh, mapan dan bernilai tinggi kepada industri dan negara.

Katanya lagi, dalam era digital ini, AI dan keselamatan siber bukan lagi bidang pilihan kerana telah menjadi satu keperluan, justeru FAIX turut berperanan sebagai pusat rujukan kebangsaan dan hab penyelidikan serta inovasi AI Gunaan dan keselamatan siber selari dengan keperluan industri dan aspirasi Malaysia Madani.

“Peluncuran FAIX menandakan komitmen UTeM untuk menjadi perintis dalam pembangunan modal insan TVET berteknologi tinggi dan menjadi institusi pendidikan tinggi teknikal yang relevan, responsif dan proaktif dalam menghadapi
masa depan,” katanya.

Mengulas lanjut tentang operasi fizikal FAIX, sehingga kini FAIX telah dilengkapi dengan 13 buah makmal dengan kelengkapan bertaraf dunia yang membolehkan pelajar dan penyelidik meneroka teknologi canggih dalam persekitaran yang
kondusif serta berdaya saing.

“Dijangka seramai 1,040 orang pelajar tempatan akan menjadi kumpulan perintis pertama pada kemasukan bulan Oktober nanti menjadikan permulaan yang signifikan kepada pengoperasian rasmi fakulti ini,” ulasnya.

Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2025 dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Melaka Datuk Seri, Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast