Gambar : IPD Kuantan

KUANTAN – Dua individu maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Toyota Vios dengan sebuah lori Scania di Batu 12 , Jalan Kuantan-Maran dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 4.16 petang. 

“Siasatan awal mendapati kereta dinaiki tiga individu dipandu lelaki berusia 59 tahun dari arah Kuantan menghala ke arah Maran manakala lori separa treler tanpa muatan pula dari arah Johor menghala ke arah Kuantan.

“Apabila perjalanan sampai di tempat kejadian, ketika kereta itu sedang bergerak lurus di lorong kiri tiba-tiba lori berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan tersebut penumpang belakang kereta itu telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori pula disahkan meninggal dunia di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan semasa mendapatkan rawatan.

Difahamkan, pemandu kereta iaitu suami kepada mangsa yang maut telah mengalami kecederaan di bahagian muka dan bahu kini dirawat di Zon Kuning HTAA Kuantan.

Tambah Wan Mohd Zahari, penumpang hadapan yang merupakan jiran kepada pemandu kereta itu pula turut mengalami kecederaan luka pada bahagian tangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast