Gambar ini menunjukkan jejak roket daripada sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome Israel yang dilancarkan untuk memintas roket yang dilepaskan dari Iran di atas Dome of the Rock di perkarangan masjid al-Aqsa di Bandar Lama Baitulmaqdis pada 13 Jun 2025. Foto AFP

ISTANBUL – Tentera Israel mendakwa Iran telah melancarkan kurang daripada 100 peluru berpandu ke arah negara itu, dan kebanyakannya berjaya dipintas.

“Kurang daripada 100 peluru berpandu telah dilancarkan ke arah Israel dalam dua gelombang,” tulis jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, di akaun X

Beliau menambah, sebilangan kecil bangunan telah rosak, termasuk akibat serpihan daripada operasi pemintasan.

Sekurang-kurangnya 35 rakyat Israel cedera, termasuk dua dalam keadaan kritikal, bakinya dalam keadaan cedera sederhana dan ringan apabila peluru berpandu balistik Iran sebagai tindak balas mengenai beberapa kawasan di seluruh Israel, lapor akhbar Israel Yedioth Ahronoth.

Tentera Israel berkata, puluhan peluru berpandu telah dilancarkan dari Iran dan sistem pertahanan udara sedang berusaha untuk memintasnya.

Siren amaran dibunyikan di seluruh Israel akibat pelancaran peluru berpandu tersebut, termasuk di Tel Aviv, Baitulmaqdis dan Haifa, menandakan keadaan berjaga-jaga di peringkat nasional.

Saluran 14 mengesahkan bahawa satu peluru berpandu telah mengenai Tel Aviv, menyebabkan kepulan asap tebal naik dari lokasi impak.

Radio Tentera Israel melaporkan, satu kebakaran tercetus berhampiran ibu pejabat Kementerian Pertahanan di Tel Aviv selepas serangan peluru berpandu.

Israel melancarkan serangan besar-besaran awal pagi Jumaat, mengerahkan sekitar 200 pesawat untuk menyasarkan program nuklear Iran dan keupayaan peluru berpandu jarak jauhnya. Serangan itu telah membunuh pegawai kanan tentera Iran serta beberapa saintis nuklear.

Iran telah berikrar akan memberikan “hukuman berat” dan menyeru kepada satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB bagi meminta pertanggungjawaban Israel atas tindakannya.- Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast