Allahyarham Dr. Ahmad Rafizee Mohd Saian.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan insiden kemalangan jalan raya yang mengorbankan seorang pegawai perubatan dari Hospital Bintulu, Sarawak, Allahyarham Dr. Ahmad Rafizee Mohd Saian.

KKM dalam kenyataan lewat malam tadi memaklumkan, allahyarham yang berasal dari Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor telah melaporkan diri dan mula bertugas di Hospital Bintulu sejak 31 Julai 2023.

Beliau merupakan seorang pegawai muda yang menunjukkan komitmen tinggi serta semangat luar biasa dalam menjalankan tanggungjawab sebagai petugas barisan hadapan, khususnya di kawasan pedalaman.

Menurut KKM, pada pagi 13 Jun 2025, Allahyarham telah menyerahkan tugas kepada rakan sekerja setelah selesai tugasan sebagai pegawai perubatan ‘on-call’ malam sebelumnya.

“Beliau kemudiannya bertolak ke Miri untuk bercuti kerana telah memohon cuti rehat pada tarikh tersebut.

“Difahamkan, Allahyarham bercadang untuk mengunjungi Taman Negara Mulu dan dijadualkan menaiki penerbangan dari Miri pada jam 10:50 pagi. Bagaimanapun, beliau terlepas penerbangan itu dan membuat keputusan untuk kembali semula ke Bintulu,” katanya.

Malangnya, sekitar pukul 4 petang hari yang sama, pihak Hospital Bintulu dimaklumkan mengenai satu kemalangan maut berhampiran Jambatan Suai yang melibatkan kenderaan dipandu allahyarham.

Pihak polis kemudian mengesahkan beliau telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada warga kerja KKM.

Beliau dikenali sebagai seorang pegawai perubatan yang berdisiplin, berdedikasi serta sangat komited dalam menjalankan tugas, terutamanya dalam persekitaran kerja yang mencabar di pedalaman Sarawak.

Pihak hospital dan wakil KKM akan terus berhubung dengan keluarga Allahyarham bagi memberikan sokongan dan bantuan dalam urusan pengurusan jenazah dan hal-hal berkaitan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast