Gambar: Kesultanan Pahang

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bercemar duli melawat dan mengurniakan sumbangan kepada 210 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat dalam kejadian ribut di Temerloh pada Isnin lalu.

Keberangkatan baginda ke Dewan Orang Ramai Kampung Paya Luas semalam diiringi Tengku Panglima Raja Brigedier, Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Exco Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan.

Baginda menzahirkan rasa simpati dengan kejadian itu dan meminta semua mangsa yang terkesan supaya tabah menghadapinya.

“Saya amat bersimpati dengan kejadian yang menimpa rakyat saya di sini, agak terkejut (ribut) berlaku selepas sahaja kita sambut raya Aidiladha. Sudah tentu kesedihan ini agak terasa juga kerana tak sempat berhari raya dalam keadaan lebih sempurna, namun ini semua adalah kehendak Allah.

“Jangan berasa marah, kecewa, ini semua ujian Allah, mesti ada rahmat disebaliknya. Kita perlu bersabar sahaja. Cuaca seperti ini berlaku di mana sahaja. Alhamdulillah setakat ini tiada kemalangan nyawa,” titah Baginda.

Baginda bertitah agar pemberian sebarang bentuk sumbangan kepada kesemua mangsa ribut berkenaan dapat disegerakan.

Difahamkan, kerajaan negeri telah memperuntukkan bantuan awal wang tunai berjumlah RM300 kepada keluarga yang terbabit dan akan menyampaikan bantuan lain dalam masa terdekat.

“RM5,000 untuk baiki rumah yang rosak harap dapat cepatkan jangan sebab biorokasi menyusahkan rakyat saya. Harap dapat dipercepatkan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu khususnya pejabat daerah, polis, APM dan NGO yang membantu. Saya mendoakan kita semua dalam keadaan sihat walafiat dan harus terus bersabar dan beristiqamah atas ujian,” titah baginda.

Baginda dalam pada itu turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada waris dua mangsa kemalangan maut dalam kejadian di lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail, Temerloh pada Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa, Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, dan Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat.

“Saya terkejut dan dukacita atas kematian dua anak gadis akibat kemalangan jalan raya. Dugaan ini lebih berat. Takziah kepada keluarga. Allah lebih menyanyangi kedua-dua mangsa,” titah baginda. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Jumlah rumah rosak akibat ribut di Temerloh bertambah kepada 115

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast