Hantaran yang dikongsikan oleh pihak penganjur di laman sosial Instagram. Ihsan Foto : Instagram Twins Championship

KUALA LUMPUR – Aksi tinju antara dua pempengaruh, DMA Islam dan Abang Koroy yang dijadualkan berlangsung hari ini sempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 di Dataran Merdeka dibatalkan pada saat akhir.

Perlawanan yang tular di media sosial dan dinanti-nantikan ribuan peminat itu dihentikan secara mengejut menerusi pengumuman rasmi pihak penganjur

Pihak penganjur, Twins Championship bagaimanapun tidak memperincikan sebab pembatalan acara berkenaan.

Difahamkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga tidak dimaklumkan lebih awal mengenai penganjuran acara tersebut dan hanya mengetahui mengenainya selepas ia menjadi tular di platform seperti TikTok dan Instagram.

Namun, KBS menyambut baik keputusan pembatalan itu kerana menganggap ia tidak selari dengan aspirasi sambutan HBN yang menekankan nilai sahsiah, integriti dan pembangunan belia secara positif.

Terdahulu, perlawanan tinju tersebut menjadi perbualan hangat netizen berikutan personaliti DMA Islam yang pernah mencetuskan kontroversi melalui rakaman video mengandungi kata-kata kesat dan berbaur provokasi.

Perkara itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai yang mempersoalkan kewajaran menjadikan individu berkenaan sebagai ikon kepada golongan belia.

“Sebagai influencer, tak semestinya semua yang dibuat itu betul. Gaya dia mencarut bukan nilai yang patut kita banggakan di acara sambutan belia,” kata seorang pengguna Instagram yang turut berkongsi kekecewaannya.

Ramai juga menyifatkan tindakan membatalkan perlawanan itu sebagai langkah tepat, memandangkan mesej dan imej yang dibawa tidak mencerminkan semangat HBN yang seharusnya menjadi platform pemerkasaan belia secara holistik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast