Razeef Rakimin. - Foto: Portal Suara Keadilan

KUALA LUMPUR – Pas didakwa terpaksa menukar himpunan aman yang dirancang 26 Julai depan kepada himpunan `Turun Anwar’ selepas rancangan asal membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) tidak mendapat sambutan.

Dalam masa sama, Pemangku Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Razeef Rakimin menempelak Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mendakwa idea baharu himpunan itu timbul selepas melihat banyak isu berlaku dalam negara ketika ini.

Sedangkan dakwa beliau, Afnan Hamimi sendiri tidak mengetahui isu apa yang dimaksudkan serta sama ada ia sebenarnya berpunca daripada kelemahan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pada pandangan saya, tindakan Pas menukar nama himpunan adalah kerana isu yang mereka tunggang tidak mendapat sambutan kerana rakyat faham tujuan baik pembaharuan semula bandar.

“Apatah lagi dahulu PAS sendiri bersetuju ketika isu ini dibawa oleh kerajaan Perikatan Nasional,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Terdahulu, Afnan Hamimi mengumumkan himpunan membantah RUU PSB ditukar kepada ‘Himpunan Turun Anwar’, antaranya bagi menyatakan solidariti kepada Muhammed Yusoff Rawther.

Katanya, keputusan itu berikutan permohonan Anwar untuk merujuk kepada mahkamah persoalan undang-undang termasuk sama ada perdana menteri mempunyai imuniti daripada saman, berkaitan saman sivil yang difailkan oleh Muhammed Yusoff.

Sementara itu, menurut Razeef, Kerajaan Madani hari ini terbuka mendengar pandangan dan kritikan daripada mana-mana pihak demi penambahbaikan negara.

Namun, dakwa beliau, pembangkang yang ada hari ini `terlalu bodoh’ untuk menjadi semak imbang dalam Parlimen.

“Saya yakin rakyat di semua lapisan yang merasai pelbagai inisiatif di bawah kerajaan Madani tidak akan termakan hasutan pembangkang untuk hadir ke himpunan yang tidak ada hala tuju melainkan demi menyemarakkan kebencian kepada kerajaan atas kegagalan menumbangkan kerajaan melalui cara ‘tebuk atap’,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast