KLUANG – Seorang penuntut kolej maut selepas motosikal ditunggang melanggar besi penghadang di Kilometer 69.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 3.15 petang melibatkan motosikal jenis Yamaha Y16ZR ditunggang Mohamad Danish Subaha.
“Hasil siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa yang berusia 20 tahun dalam perjalanan dari Simpang Renggam menghala ke Melaka.
“Apabila sampai di lokasi kemalangan telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi pembahagi jalan sebelum terjatuh atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis Kluang menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa atas jalan raya untuk mengelak kejadian tidak diingini,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















