KUANTAN – Cadangan kerajaan mewajibkan pemasangan Peranti Had Kelajuan (SLD) pada semua kenderaan berat termasuk bas ekspres dan bas persiaran merupakan tindakan wajar dan sangat dinantikan oleh pengusaha bas di negeri ini.
Pengarah Sanwa Tours (M) Sdn. Bhd., Sathies Supramaniam berkata, tindakan tersebut kena pada masanya sebagai langkah keselamatan kepada pengguna jalan raya, pemandu dan penumpang bas.
”Syarikat Sanwa juga amat menyokong dasar baharu yang dicadangkan MOT untuk mewajibkan pemasangan SLD pada setiap bas untuk beroperasi selain daripada pemasangan sistem GPS yang telah diwajibkan ketika ini.
”Bagi memastikan inisiatif ini berjalan lancar dan memberi impak yang ketara, aktiviti penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan dengan kerap dan giat di awal pelaksanaannya di mana pegawai penguatkuasa juga hendaklah mahir dalam membuat pemeriksaan sistem ini agar tidak dimanipulasi pihak tertentu,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Dalam pada itu katanya, usaha kerajaan untuk membangunkan sistem baharu pangkalan data pemandu juga wajar dipuji bagi memudahkan pihak pengurusan bas ’menyaring’ rekod pemandu yang bakal berkhidmat.
Sathies yang berpengalaman melebihi 12 tahun serta mempunyai kenderaan dengan kelas lesen bas ekspres, bas persiaran, bas sekolah dan bas berhenti-henti berpendapat keperluan pangkalan data pemandu agak kritikal yang mana pada masa ini pengusaha bas hanya bergantung kepada data saman pemandu sahaja.
Selain itu pihak pengurusan hanya mendapat maklumat melalui temuduga tanpa mengetahui rekod lampau pemandu yang berpindah dari satu syarikat ke satu syarikat kerana masalah displin.
”Tindakan ini adalah amat wajar dan sangat dinanti-nantikan pemain industri khususnya pengusaha bas terutamanya cadangan untuk pihak MOT membangunkan sistem baharu pangkalan data pemandu.
”Akses kepada sistem pangkalan data ini akan membantu setiap syarikat untuk mengemaskini data pemandu yang pernah bekerja di syarikat mereka serta melihat latar belakang pemandu untuk diambil bekerja oleh syarikat yang lain,” tambahnya.
Bagaimanapun Sathies berharap usaha tersebut dilaksanakan seiring dengan galakan serta inisiatif daripada kerajaan, khususnya pihak kementerian untuk membantu industri dalam menangani isu kekurangan pemandu bas.
Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penguatkuasaan SLD secara berperingkat bagi kenderaan perdagangan termasuk bas persiaran dan ekspres akan bermula 1 Oktober ini.
SLD ialah peranti atau sistem kawalan kelajuan yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum sesebuah kenderaan sebagai platform meningkatkan keselamatan jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan maut yang membabitkan kenderaan berat.
Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mula menguatkuasakan keperluan SLD terhadap kenderaan perdagangan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan maut membabitkan kenderaan berat. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Peranti Kawalan Had Laju Diwajibkan Untuk Kenderaan Berat Mulai 1 Oktober 2025
Kenderaan Yang Ada Fungsi SLD Wajib Diaktifkan Sehingga 1 Januari 2026
















