KUALA LUMPUR – Seramai 150,557 pemohon bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi UPUOnline berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, pihaknya menerima 223,624 permohonan untuk melanjutkan pengajian pada tahun 2025.
Daripada jumlah itu, 86,589 calon ditempatkan di universiti awam (UA), politeknik (42,058), Kolej Komuniti (20,427) dan Mara Bahagian Pendidikan Tinggi (1,483).
“Tahniah dan syabas kepada bakal pelajar IPTA,” katanya.
Jelasnya, kemasukan ke IPTA ini dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.
KPT menambah, sebanyak 17,693 calon lagi mendapat tawaran laluan khas.
Ia termasuk 16,189 kategori B40, orang kurang upaya (590), atlet (593), orang asli (321) dan calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 43 calon.
Sebanyak 349 program pengajian telah ditawarkan secara keseluruhan termasuk 1 Ijazah Sarjana Muda, 252 diploma, 55 asasi dan 41 sijil.
KPT memaklumkan, calon-calon yang tidak mendapat tawaran di IPTA, proses rayuan di UPUOnline dibuka selama 10 hari mulai hari ini, 16 Jun 2025, jam 12 tengah hari hingga 25 Jun, 5 petang. – MalaysiaGazette
















