KUALA LUMPUR – Permintaan tenaga di Asia dijangka terus meningkat berikutan perkembangan pesat sektor perindustrian dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
Ini sekali gus menuntut negara-negara di rantau ini untuk melaksanakan peralihan tenaga secara strategik, pragmatik dan realistik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cabaran utama kini adalah memastikan transisi tenaga dilaksanakan secara adil dan inklusif iaitu bukan hanya daripada aspek teknologi malah juga dari sudut pelaburan dan kerangka kewangan yang menyeluruh.
“Kita tahu keperluan tenaga akan terus meningkat daripada pusat industri hingga kecerdasan buatan (AI) dan ini menuntut kita membuat keputusan yang strategik, pragmatik dan realistik,” katanya ketika merasmikan Majlis Pembukaan Energy Asia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Anwar, pelaksanaan peralihan tenaga bersih yang berkesan memerlukan peningkatan pelaburan besar-besaran serta arkitektur kewangan yang jelas dan menyakinkan untuk memobilisasi projek tenaga boleh diperbaharui di seluruh rantau ini.
“Malaysia sedang melaksanakan pelbagai langkah konkrit bagi memperkukuh sektor tenaga bersih termasuk melalui skim penyediaan tenaga boleh diperbaharui dan mekanisme Three-Parties Access (TPA) yang membolehkan lebih banyak pihak terlibat dalam pengeluaran dan agihan tenaga bersih secara efisien.
“Kami tidak meniru dasar orang lain. Kami melaksanakan dasar yang sesuai dengan realiti kami. Dasar yang realistik dan pragmatik,” tambahnya.
Beliau turut menekankan kadar pelaburan tenaga bersih yang masih terlalu rendah di rantau ini di mana ia hanya sekitar dua peratus daripada pelaburan tenaga bersih global pada tahun 2023.
Perkara ini terjadi meskipun Asia Tenggara memiliki potensi besar dalam sektor tersebut.
“Kita ada tenaga hidro di Laos, solar di Malaysia dan geotermal di Indonesia. Potensinya sangat besar tetapi tidak diterjemahkan dalam bentuk pelaburan sebenar,” katanya.
Asia Tenggara juga kini menyumbang hampir 50 peratus pertumbuhan tenaga global dan angka itu dijangka meningkat kepada 60 peratus dalam tempoh terdekat menjadikan rantau ini sebagai pemain utama dalam agenda tenaga global.
Pada masa sama, Malaysia juga sedang berusaha menyeimbangkan keperluan keselamatan tenaga nasional dengan agenda kelestarian.
Ini termasuk melalui penggubalan Rang Undang-Undang Carbon Capture and Storage (CCS) 2025 dan pembangunan pelbagai infrastruktur tenaga moden oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Kita tidak boleh hanya mengejar dekarbonisasi tanpa memahami keperluan ekonomi dan sosial rakyat kerana transisi tenaga ini mesti dilakukan dengan bijak untuk kemampanan dan kemajuan bersama,” ucapnya. – MalaysiaGazette
















