Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memilih kampung ibunya iaitu Kampung Parit Seberang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebagai Kampung Angkat Madani 2025 di bawah seliaannya.

Dakwa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan, tindakan itu merupakan satu konflik kepentingan yang amat jelas dan lebih buruk membabitkan perbelanjaan wang rakyat oleh badan penguat kuasa undang-undang.

“Jika Tan Sri Razarudin mahu membantu kampung ibunya maka sepatutnya gunakanlah wang sendiri.

“Sejak bila pula seorang individu boleh ‘memilih kampung ibunya’ untuk menerima wang rakyat sehingga satu juta ringgit?” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Media semalam melaporkan Razarudin memilih kampung ibunya iaitu Kampung Parit Seberang itu sebagai Kampung Angkat Madani 2025 di bawah seliaannya dengan sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan dan infrastruktur kampung terbabit.

Menurut Razarudin, program tersebut selaras dengan matlamat memperkukuh prasarana dan memenuhi keperluan asas penduduk luar bandar di kampung terpilih.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, apa yang menyedihkan juga apabila perkara itu dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu pasukan yang sepatutnya menjulang integriti dan tadbir urus baik dalam negara.

Tambah beliau, pengumuman itu juga merupakan satu lagi bukti betapa amalan kronisme semakin memuncak dalam kerajaan hari ini.

“Bapa pilih anak. Suami pilih isteri. Anak pilih ibu. Abang pilih adik. Semuanya ada dalam kerajaan hari ini,” katanya.

Tambah Wan Saiful, beliau menjangkakan selepas ini akan ada kenyataan dikeluarkan pihak tertentu untuk menyatakan bahawa proses pemilihan itu dibuat secara telus oleh jawatankuasa bebas.

“Sebagai respon awal, saya katakan bahawa ini adalah afterthought selepas barah kronisme didedahkan oleh media dan itu juga alasan basi yang amat biasa digunakan oleh semua kroni seluruh dunia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast