Dari kiri Jun Jie, San San, Chew Swee dan Hong Seng menunjukkan salinan laporan polis dan foto pengurus wanita berkenaan selepas sidang akhbar di Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Sebuah syarikat pembekal tar jalan mendakwa kerugian RM10 juta disonglap pengurusnya yang menghilangkan diri dan kini diburu selepas perbuatannya itu terbongkar.

Pengurus Pembangunan Perniagaan syarikat berkenaan, Hoe Hong Seng berkata, suspek iaitu Hoh Yin Tai, 58, yang berasal dari Negeri Sembilan dan menetap di daerah ini telah lesap sejak November 2023.

“Pihak syarikat mula menyedari kehilangan wang hasil jualan syarikat itu pada akhir 2023 sebelum siasatan dibuat mendapati wang berkenaan masuk ke dalam akaun bank peribadi wanita terbabit.

“Jumlah wang syarikat dipercayai dicuri pengurus wanita itu mencecah RM10 juta, bagaimanapun majikan hanya mahu menuntut kembali RM2.5 juta memandangkan terdapat bukti dan resit bermula Januari 2018.

“Kita percaya dia telah buat ‘kerja’ ini lama sejak dia mula bekerja pada 2004. Cuma pada akhir 2023 kita betul-betul cari bukti dan ternyata duit hasil jualan tidak masuk ke akaun syarikat, sebaliknya ke akaun wanita itu,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha MCA Negeri Johor, Chan San San; peguam Tan Jun Jie yang mewakili syarikat terbabit dan Pengarah Syarikat, Koh Chew Swee.

Hong Seng berkata, pihaknya ada berunding dengan pengurus wanita berkenaan tetapi hanya bersetuju untuk membayar RM100,000 dan syarikatnya tidak setuju.

Selepas perbincangan tersebut katanya, pengurus wanita berkenaan tidak hadir bekerja dan menghilangkan diri

Chew Swee pula berkata, syarikat kesal dengan tindakan ibu kepada tiga anak itu yang telah diberi kepercayaan dan amanah untuk menguruskan operasi syarikat berkenaan.

“Kita bukan mahu marah, tetapi tampil dulu, kita mahu bincang cara baik dan mahu dia bayar wang RM2.5 juta,” katanya.

Syarikat itu ujarnya, kemudian membuat laporan polis pada Januari tahun lalu bagi meminta bantuan pihak berkuasa dalam mengesan wanita terbabit.

Sementara itu, San San memohon pihak polis mengambil tindakan segera bagi membolehkan masalah dihadapi syarikat itu berakhir.

“Kita harap pihak polis boleh bantu syarikat ini kesan wanita berkenaan. Memang ada pihak polis ke rumah wanita itu, tetapi dia tiada, malah keluarganya juga tidak tahu dia di mana. Kita percaya dia masih ada dalam Malaysia,” jelasnya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis dibuat syarikat berkenaan.

Beliau berkata, polis masih dalam usaha mengesan keberadaan wanita terbabit.

“Siasatan dibuka di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah oleh orang yang digaji. Usaha mengesan dan menangkap suspek masih berjalan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast