Pada April lalu seorang pesara saintis memaklumkan bahawa beliau akan melancong ke Iran selama 15 hari.
“Akan berlakukah peperangan ke atas Iran?”
Beliau bertanya pada saya kerana dahulu saya sering menulis mengenai isu-isu Timur Tengah di akhbar.
Tentulah saya tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku kerana saya juga sudah bersara dan tidak memantau maklumat baharu.
Namun begitu, jika mengikut perasaan saya, tidak akan berlaku peperangan ke atas Iran baik oleh Israel mahupun Amerika Syarikat pada bulan lalu walaupun pihak Zionis telah melakukan pelbagai provokasi dengan membunuh jeneral-jeneral republik Islam itu. Ini kerana semua pihak mengelak peperangan sebab kesannya pada dunia akan amat besar.
Kalaulah herlaku peperangan besar di Timur Tengah bulan lalu, ia boleh menjejaskan perjalanan dan pelaksanaan ibadah haji.
Bulan lalu pun berlalu tanpa insiden yang melibatkan Israel dan Iran. Pesara saintis itu mengunjungi Teheran, Shiraz, Yazd, Nain dan Isfahan termasuk sebuah rumah ibadat penganut Majusi. Beliau kemudian pulang ke tanah air dengan selamatnya.
Dari beliau, dapatlah saya maklumat terbaru mengenai suasana masyarakat Iran yang cergas dan aktif membangun. Rakyat dan negaranya pasti mahukan keamanan untuk kelangsungan hidup. Banyak gambaran dari media Barat mengenai tekanan berbentuk keagamaan juga tidak benar.
Tetapi semasa bulan Ramadan hari itu, saya terjumpa seorang kawan lama yang pada satu masa sering ke Iran. Dalam perjalanan terakhir ke sana beliau mengiringi seorang ahli politik negara ini, beliau menceritakan bagaimana Iran bersiap sedia untuk menghadapi sebarang peperangan terutamanya dengan Amerika dari segi persenjataan tanpa bantuan pihak Barat. Sebarang kerjasama persenjataan tentunya dari pihak yang berlawanan dengan Barat iaitu Rusia, China dan Korea Utara.
Ketika sebahagian umat Islam sibuk menunaikan haji, saya dapati Amerika pula sibuk mengadakan rundingan dengan Iran untuk menghentikan usaha pembangunan tenaga nuklear dengan Iran. Kelihatannya Israel tidak bersetuju dengan rundingan itu. Malah mereka bertubi-tubi mengajak Amerika supaya menyerang Iran. Kelihatannya Pentadbiran Donald Trump tidak bersependapat dengan kerajaan Benjamin Netanyahu. Tetapi boleh jadi semua ini adalah “wayang.”
Namun apabila Trump mengalih pandangan terhadap hal ehwal dalam Amerika, pasukan penguatkuasaan imigresen dan kastam (ICE), mereka menangkap imigran tanpa dokumen di Los Angeles secara besar-besaran dengan secara luar biasa dikerahkan angkatan Pengawal Negara (National Guards), maka ada sesuatu dirasakan sesuatu yang tidak kena akan berlaku.
Ditambah pula Trump sedang merancang kawad dan perarakan Angkatan Tentera Amerika untuk hujung minggu nya bagi menyambut ulang tahunnya ke-250, sesuatu yang lama tidak dilakukan oleh Washingron.
Israel pula berulangkali menyeru Amerika menyerang Iran. Apabila banyak kakitangan kedutaan Amerika dan pangkalan tenteranya di Timur Tengah dipanggil pulang segera, maka saya mula berasakan peperangan di Timur Tengah bakal tercetus. Amerika mempunyai pangkalan di Syria, Iraq, Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan paling besar di Qatar.
Maklumatnya ialah rundingan nuklear antara Amerika dan Iran menemui jalan buntu. Amerika mahu Iran berhentikan keseluruhannya usaha nuklear itu. Iran pula mahukan sekurang-kurangnya pengkayaan Uranium sebanyak 85 peratus walaupun tidak 100 peratus bagi membangun bom. Mengapakah Israel dibenarkan mempunyai senjata nuklear walaupun ia tidak pernah mengakui dan menafikan.
Iran tentu dapat berkira bahawa Israel akan menyerang Iran tidak lama lagi. Jeneral Iran dinyatakan berkata bahawa Iran boleh saja meranapkan keseluruhan Israel dengan menggunakan senjata sedia ada. Umum berpendapat bahawa Israel tidak boleh mengalahkan Iran tanpa bantuan Amerika.
Tetapi pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu mendabik dada. Katanya Israel telah memberi sumbangan pada Barat kerana berjaya menjatuhkan rejim di Iraq, Syria dan Libya, maka kini giliran Iran dijatuhkan untuk menyelamatkan “tamadun”. Walaupun di sudut lain, Israel telah menggunakan Amerika untuk kepentingan mereka.
Maka pada 14 Jun, pada jam 4.00 pagi waktu tempatan, jet-jet tentera Israel, sudah tentu yang dibekalkan oleh Amerika menyerang Tehetan, membunuh komander-komander tentera dan saintis-saintis nuklear Iran.
Apa yang mengejutkan ialah Iran tidak dapat mengesan dan menangkis pencerobohan jet Israel itu. Seterusnya jet Israel dapat membunuh secara tepat jeneral-jeneral tertinggi Iran dan saintis-saintis walaupun mereka sedang tidur di kediaman masing-masing bersama keluarga. Maknanya Israel mungkin melalui Mossad mempunyai jaringan perisikan yang menyeluruh dan cekap. Sesuatu yang sukar untuk membasmikan. Ditambah pula perisikan agensi Amerika iaitu CIA juga meluas. Sebahagian besar orang Iran yang menjadi perisik Israel dipercayai adalah atas dorongan kewangan ditambah motivasi anti pemerintahan Republik Islam.
Iran membalas balik dengan serangan peluri berpandu balistik ke atas Tel Aviv, Baitulmakdia dan Haifa. Ia juga memeranjatkan pihak pemerhati kerana Iran mampu menerobos sistem perisai penangkis yang dikenali sebagai Iron Dome (Kubah Besi) Beberapa bangunan residen tinggi musnah dan juga pangkalan-pangkalan tentera. Tetapi kemusnahan ini tidaklah sampai seperti apa yang ditanggung oleh penduduk Gaza yang dimusnahkan oleh Israel.
Matlamat Netanyahu sudah berulangkali dikatakan iaitu petubahan rejim, iaitu seperti apa yang berlaku di Iraq, Libya dan Syria. Perubahan rejim bukan saja seperti perubahan kerajaan. Kalau perubahan kerajaan, ia adalah seperti Mesir di mana Presiden Mohamed Morsi yang dirasakan mengancam Israel telah digulingkan.
Terhadap Iran, perubahan rejim itu bermaksud menjatuhkan sistem Republik Islam dan digantikan dengan republik demokratik atau kembali pada sistem beraja. Malah ada kata-kata di Barat yang menyeru putera Shah Iran, Reza Pahlavi untuk bersedia untuk pulang. Monarki Pahlavi amat dirindukan oleh Barat.
Tetapi apa yang membezakan antara peperangan ini dengan keadaan yang terdahulu ialah penyebaran maklumat. Kali ini maklumat lebih mudah, luas dan independen. Ia boleh diperoleh melalui media sosial khususnya Tik Tok yang sebelum ini berperanan menyebarkan maklumat mengenai Gaza. Maknanya dunia tidak terikat dengan naratif dari Barat. Di televisyen juga kini seseorang boleh dapat maklumat dari stesen bukan Barat seperti CGTN dari China dan Wi9n dari India. A-Jazeera juga memberi perspektif Arab tetapi stesennya terleyak di Qatar di mana terdapat pangkalan tentera Amerika yang besar. Perbincangan dalam podcast dan YouTube memberi pengetahuan mendalam tetapi hanya tulisan rencana panjang dan buku yang boleh memberi kefahaman menyeluruh.
Saya mula mengikuti perkembangan di Timur Twngah pada tahun 1973 ketika Perang Ramadan antara Israel dengan negara-negara Arab yang diketuai oleh Mesir dan disertai oleh Syria, Jordan, Libya, Iraq dan Arab Saudi. Iran di bawah Shah Reza Pahlavi pada masa itu bersekutu dengan Israel yang diiktirafnya dan Amerika. Barat menamakan perang itu sebagai Perang Yom Kippur.
Ketika itu saya tingkatan dua dan maklumat yang saya peroleh adalah hanya dari akhbar tempatan yang mendapat sumber berita dari Reuters, AFP dan AP yang tentunya mencerminkan sudut pandangan Barat serta juga rencana-rencana dari majalah Time dan Newsweek
Namun perhatian besar saya pada Iran berlaku pada tahin 1979 apabila tercetusnya Revolusi Islam Iran. Ayatullah Khoneini membawa Iran menjadi musuh pada Amerika. Ini kerana semasa Shah, Amerika dan Israel menguasai Iran baik secara diplomasi mahupun perisikan. CIA dan Mossad sememangnya bertapak di Iran.
Pertama jali saya ke Iran adalah pada tahun 1988 ketika perang sedang di penghujungnya. Iraq pimpinan Saddam Husseon yang disokong dan dibantu oleh Amerika dan negara-negara Arab kecuali Syria gagal mengalahkan Iran. Walaupun ketika itu Iran yang baru lepas revolusi amat lemah. Senjata yang mereka hanyalah dari Amerika yang merupakan peninggalan Shah Iran.
Republik Islam Iran didirikan di atas sikap anti-Ametika dan anti-Israel. Ia pula adalah hasil dari satu revolusi yang digerakkan oleh rakyat di bawah pimpinan ulama.
Pada tahun 2003, saya kunjungi Iran dan keadaan sudah banyak berubah. Terdapat banyak bangunan-bangunan tinggi residensi, jalan raya penuh sesak dengan pelbagai aktiviti komersial yang rancak. Sungguhpun begitu, saya juga kesan bahawa di kalangan generasi baharu, mereka sudah tidak mempedulikan revolusi, mereka mahukan perubahan untuk keadaan yang lebih baik. Malah saja juga jumpa ada orang Iran yang sukakan Amerika. Malah ada yang merindukan era menyokong supaya Iran monarki dan bersikap anti-ulama. Banyak anak muda Iran yang suka hendak berhijrah ke negara-negara Barat seperti Amerika, United Kingdom, Jerman dan Australia. Sikap mereka adalah seperti golongan Diaspora Parsi di Amerika yang sebahagianya pro-Israel. Sebahagian besar Diaspora Parsi adalah keturunan orang Iran yang lari dari Revolusi Islam.
Namun begitu, golongan sebegitu hanyalah segelintir dan mereka itu tinggal di bandar besar. Tetapi kebanyakan rakyat termasuk sebahagian di kalangan Diaspora Parsi juga menyokong negara mereka sendiri dan memberi kesetiaan pada Republik Islam dan Ayatullah Khamenei. Perubahan rejim di Iran hanya mimpi Zionis dan penyokong-penyokongnya di Amerika dan Eropah.
Sebaliknya harapan besar banyak orang di dunia pula ialah perubahan rejim di Israel. Sama ada kewujudan negara Palestin merdeka atau perubahan entiti Israel untuk menjadi negara nasional tanpa apartheid, dengan orang Arab dan Yahudi hidup bersama selaras dengan slogan iaitu “Dari Sungai (Jordan) ke “Segara” (Laut Mediterranean).”
Oleh Zin Mahmud

















