KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) melepaskan sembilan pemain termasuk penyerang sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid untuk memperkuatkan pasukan bagi saingan Liga Malaysia musim baru.
Turut dilepaskan Mohd Nor Hakim Hassan, Ismaheel Akinade, Manuel Ott, Ivan Mamut, Nelson Bonilla, Muhammad Syafik Ismail, Muhammad Syaiful Haqim Shahrul dan Argzim Redzovic.
TFC turut mengesahkan akan membawa masuk dua pemain tempatan serta lima pemain import bagi jendela perpindahan pertama yang tamat 31 Ogos ini.
Sebelum ini, kelab itu telah memperbaharui kontrak pemain import tengah dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov.
“Kelab akan mula mengumumkan secara rasmi kesemua pemain yang bakal masuk sebelum 5 Julai depan setelah semua urusan disempurnakan.

“Persiapan akhir perpindahan beberapa pemain import yang akan mengisi kekosongan di bahagian pertahanan, tengah dan juga serangan telah mencapai persetujuan kedua-dua pihak, proses melengkapkan dokumen serta urusan logisitk ke Malaysia sedang dilakukan seterusnya melakukan ujian kecergasan dan perubatan sebelum memeterai perjanjian kontrak professional.
“Pengendali pasukan, Badrul Afzan Razali dan barisan kejurulatihan telah pun menyenaraikan beberapa pemain yang dilihat mampu memberi impak kepada pasukan Terengganu FC dan ia telah di bawa ke dalam rundingan Jawatankuasa Teknikal Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dan telah pun diluluskan untuk penawaran dan negosiasi,” katanya kelab itu dalam satu kenyataan di media sosialnya di sini hari ini.
Pada masa sama, TFC juga telah mengesahkan untuk mengekalkan khidmat Azam Azmi Murad sebagai pemain pinjaman dari pasukan Johor Darul Ta’zim bagi saingan musim baru ini.
“Berkenaan berita perpindahan Akhyar Rashid ke kelab DPMM FC dari Brunei juga tidak ada permohonan secara rasmi dan pemain utama Terengganu FC itu masih di dalam perancangan Ketua Jurulatih.
“Kontrak beliau masih berbaki sehingga 2027,” kata TFC lagi. – MalaysiaGazette
















