Adly Zahari memakaikan lencana TV Pusat Sumber Sekolah (TVPSS) kepada seorang murid pada Majlis Peluncuran Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem di SK Sultan Sir Ibrahim, Kluang, hari ini

KLUANG – Program digitalisasi secara berperingkat-peringkat di 38 sekolah dalam kem di seluruh negara akan dilaksana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, inisiatif itu bagi membudayakan teknologi kreatif dalam kalangan anak-anak warga kementerian berkenaan.

“Setakat ini tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim, SK Kementah dan SK TUDM Subang telah melaksanakan program tersebut bagi melahirkan murid-murid fasih digital seiring era digital.

“Selain itu, program ini juga untuk mengupayakan warga pendidik dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan, memperkukuhkan infrastruktur dan kandungan pendidikan digital serta mengoptimumkan penglibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital.

“Sebagai permulaan, pada tahun ini Kementerian Pertahanan menyasarkan projek rintis di tiga buah sekolah dengan kerjasama rakan-rakan strategik iaitu Kementerian Pendidikan (KPM) dan Affin Bank Berhad,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas peluncuran Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem (SDK) di SK Sultan Sir Ibrahim, di sini hari ini.

Pelaksanaannya di 35 sekolah lagi akan dilakukan secara berperingkat-peringkat berdasarkan pencapaian dan hasil daripada tiga buah sekolah perintis itu.

Beliau berkata, usaha itu juga bagi memperkukuh ekosistem kesejahteraan selaras dengan pelbagai agenda nasional, termasuk Agenda Membangunkan Negara Madani dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) serta cabaran dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Kementerian akan melihat perkembangan dan maklum balas daripada pihak sekolah yang terlibat sama ada program ini perlu ditambah baik lagi,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast