Luqman Hakim Shamsudin.

KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan FC (NSFC) mengumumkan kehadiran penyerang lincah, Luqman Hakim Shamsudin bagi memperkuatkan cabaran skuad Hoben Jang Hoben bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2025/26.

Kepulangan bintang muda itu bukan sekadar menjadi penambahan kekuatan kepada barisan skuad Rusa, malah dilihat sebagai simbol kebangkitan serta inspirasi buat seluruh penyokong Hoben Jang Hoben.

“Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, penyerang yang bertinggian 170cm ini memilih untuk kembali bangkit bersama skuad The Jangs setelah 5 tahun berkelana di bumi asing.

“Berusia 23 tahun, Luqman menyertai KV Kortrijk (Belgium) pada 2019, kemudian dipinjamkan ke Njardvik (Iceland) pada 2023 dan Yokohama SCC (Jepun) pada tahun lalu.

“Pastinya musim ini, pemain yang boleh bermain di sayap dan bahagian serangan ini mahu membuktikan sesuatu buat,” tulis kelab itu di media sosial.

Luqman yang merupakan produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sebelum ini merupakan penjaring gol terbanyak AFC U-16 pada 2018 dan pernah disenaraikan antara 60 bakat muda terbaik dunia oleh The Guardian.

Di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Mohd Nidzam Jamil, Luqman dijangka mampu menyuntik nafas baharu serta membangkitkan keghairahan dalam kalangan pemain tempatan dan penyokong.

Luqman kelahiran Kelantan itu akan bergabung bersama pemain berpengalaman lain seperti Ahmad Khuzaimi Piee dan Muhd Azri Abd Ghani diharap dapat menjadi tunjang kepada pembangunan bakat muda dalam pasukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast