JOHOR BAHRU – Seorang pengurus syarikat swasta kerugian lebih RM1.7 juta selepas diperdaya pelaburan saham yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk M Kumar berkata, kejadian bermula April lalu selepas nombor telefon mangsa dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp pelaburan saham.
“Mangsa iaitu lelaki berusia 67 tahun dijanjikan pulangan harian antara lima hingga 10 peratus berdasarkan jumlah pelaburan.
“Ini menyebabkan dia mula tertarik dan melakukan 12 transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berbeza antara 16 April hingga 30 Mei lalu.
“Jumlah keseluruhan wang yang telah dipindahkan adalah RM1,772,603,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Namun, selepas membuat pembayaran, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan, malah diminta untuk membuat bayaran tambahan hampir RM500,000.
Beliau memberitahu, mangsa merasa curiga, akhirnya menyedari telah diperdaya sebelum membuat laporan polis 12 Jun lalu.
Kes itu katanya, disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya tawaran pelaburan dalam media sosial yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
“Lakukan semakan dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat sebarang pelaburan.
“Gunakan juga perkhidmatan Semak Mule untuk menyemak status akaun bank dan nombor telefon suspek sebelum melakukan sebarang transaksi,” jelasnya.
Orang ramai turut digalakkan mengikuti laman rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dalam Facebook, Instagram dan TikTok bagi mengetahui modus operandi jenayah komersial semasa serta mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.- MalaysiaGazette















