KUALA LUMPUR – Penyanyi irama nusantara, Sheqal meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan hari ini, pada jam 12.31 tengah hari.
Berita sedih itu disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Music Malaysia, Ayob Abd. Majid dalam satu kenyataan ringkas sebentar tadi.
“Dengan rasa dukacita, dimaklumkan bahawa sahabat kita Sheqal telah pun kembali ke rahmatullah sebentar tadi.
“Menurut makluman isterinya, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman Allahyarham di Raub, Pahang.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan arwah dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” kata kenyataan itu.
Harian Metro melaporkan kematian Sheqal disahkan isterinya, Normah Mohd Yusoff, 58.
Allahyarham dimasukkan ke HTJ pada 4 Jun dan ditidurkan pada 6 Jun lalu.
Sheqal berkahwin dengan Normah pada 2000 dan dikurniakan dua anak iaitu Muhammad Fatullah Shaharim, 21, dan Ummu Hani Shaharim, 20.
Pada 1993, Sheqal berkahwin dengan penyanyi dan pelakon popular, Raja Ema tetapi bercerai pada 1999. Mereka dikurniakan dua anak iaitu Putera Ammar dan Putera Al Kasyah.
Sepanjang kerjaya nyanyiannya, Sheqal yang popular dengan genre balada nusantara memiliki empat album iaitu Balada Nusantara pada 1990, Pudar Yang Tersirat Pasrah (1991), Cahaya (1994) dan Lambaian (1998). – MalaysiaGazette
















