KUALA LUMPUR – MBG Fruits Sdn Bhd menjangkakan pelaksanaan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 5.0 peratus terhadap buah-buahan import yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini bakal memberi kesan ketara terhadap kos operasi serta struktur harga runcit syarikat itu.
Pengarah Urusannya, Adnan Lee Chong Fatt Abdullah berkata, sebagai antara pengimport utama buah-buahan premium di Malaysia, pelarasan cukai ini menimbulkan cabaran baharu kepada syarikat yang sebelum ini bergantung kepada pengecualian cukai bagi mengekalkan harga berpatutan kepada pelanggan.
Menurutnya, pelaksanaan cukai tersebut akan ‘memaksa’ MBG Fruits mempertimbangkan semula strategi sama ada untuk menyerap sebahagian cukai berkenaan demi mengekalkan harga mesra pengguna.
“Kita mungkin akan melaras harga secara berperingkat terutama di cawangan-cawangan utama seperti di pusat bandar dan lapangan terbang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Adnan mendedahkan, produk yang paling terjejas akibat pelaksanaan SST ini adalah buah-buahan import premium dan bermusim seperti epal, oren, anggur, pear, strawberi dan ceri.
Tambahnya, buah-buahan jenis ini sering menjadi pilihan pelanggan yang lebih sensitif terhadap perubahan harga sekali gus berpotensi menjejaskan permintaan.
“Untuk tangani kesan kenaikan kos ini, MBG Fruits kini sedang merangka beberapa pendekatan strategik termasuk mempelbagaikan sumber bekalan dari negara-negara ASEAN seperti Thailand dan Vietnam yang mungkin mempunyai struktur cukai lebih kompetitif.
“Di samping itu, MBG turut merancang untuk memperluaskan promosi buah-buahan tempatan seperti jambu, nanas MD2, pisang, buah naga, tembikai, honey dew dan betik sebagai alternatif kepada buah import,” ujarnya.
Adnan turut memaklumkan, syarikat akan memperkenalkan pakej jualan campuran yang menggabungkan buah tempatan dan import dalam satu pek bagi mengekalkan nilai dan menarik perhatian pengguna.
Pada masa sama, pihaknya sedang mengkaji pelbagai langkah penjimatan dalaman termasuk rundingan dengan pembekal logistik dan pelarasan margin bagi memastikan harga yang ditawarkan kekal berdaya saing.
“Kita harap kerajaan agar menyediakan garis panduan yang jelas serta sokongan pelaksanaan bagi membolehkan pengimport seperti MBG Fruits membuat peralihan secara lancar.
“Harap kerajaan mempertimbangkan pengecualian bersasar atau penangguhan sementara bagi buah-buahan bermusim yang penting dalam pasaran, terutamanya ketika musim perayaan dan cuti sekolah.
“Sebagai syarikat yang telah lama menyokong pasaran buah-buahan segar di Malaysia, kami melihat pelarasan SST ini bukan sahaja sebagai satu cabaran tetapi juga peluang untuk menyusun semula strategi pasaran kami agar lebih mampan dan berdaya saing. Kita kekal komited tawarkan buah-buahan berkualiti tinggi pada harga terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Sambung, MBG yang turut membawa maksud “money back guarantee”, menegaskan bahawa kepuasan pelanggan terus menjadi keutamaan dalam setiap keputusan strategik yang diambil. -MalaysiaGazette
















