KUALA LUMPUR – Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada) akan menggerakkan pendekatan turun padang bermula Julai ini melalui siri jelajah dan libat urus secara langsung bersama rakyat di kawasan tumpuan seluruh negara.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata, langkah itu bertujuan memperkukuhkan hubungan akar umbi serta membawa suara anak muda terus ke tengah-tengah denyut nadi masyarakat.
“Ini adalah komitmen Armada untuk terus dekat dengan rakyat dan memahami isu-isu sebenar yang menghimpit kehidupan seharian mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Harris Idaham berkata, mesyuarat Armada Bersatu yang diadakan semalam membincangkan beberapa isu semasa yang kini menjadi tekanan utama kepada rakyat.
Katanya, antaranya perkara yang dibincangkan iaitu mengenai perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang memberi kesan langsung kepada kos barangan dan perkhidmatan harian.
Turut dibincangkan katanya, kenaikan tarif elektrik yang menjejaskan rantaian harga makanan dan keperluan asas serta pelaksanaan subsidi bersasar bagi Petrol RON95 yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan golongan B40 dan M40.
Sebarang dasar ekonomi yang membebankan rakyat wajar ditolak, lebih-lebih lagi apabila ia dilaksanakan tanpa ketelusan dan tidak berpaksikan realiti kehidupan rakyat.
“Armada Bersatu sepakat menggerakkan ahli-ahli dari seluruh negara bagi menyertai himpunan ‘Turun Anwar’ yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai 2025 di ibu negara,” kata Harris.
Tambahnya, Armada juga akan memainkan peranan aktif dalam kempen-kempen mobilisasi anak muda menjelang perhimpunan tersebut.

“Himpunan ini adalah simbol penolakan rakyat khususnya anak muda terhadap kegagalan Kerajaan Madani dalam menangani isu kos sara hidup dan membela kepentingan rakyat terbanyak.
“Sudah tiba masanya anak muda bangkit menyatakan pendirian bahawa rakyat tidak boleh terus dibohongi dengan retorik dan pencitraan,” katanya lagi.
Tambah Harris, Armada Bersatu akan terus berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan agenda reformasi sebenar yang berpaksikan keadilan, kecekapan dan keikhlasan. – MalaysiaGazette

















ha..ha..ha.. kau turunlah sorang sorang. rakyat dah tak bodoh macam lembu