This picture shows a building damaged in an Israeli strike on Tehran on June 13, 2025.. Photo AFP

NEW YORK – “Rejim Israel, bukannya Iran pihak yang memulakan perang selepas mendapat lampu hijau daripada Amerika Syarikat,” demikian kata Duta dan Wakil Tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir-Sa’eed Iravani.

Dalam ucapannya di mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai isu Asia Barat yang memberi tumpuan kepada Syria, Iravani memberi amaran terhadap serangan berterusan Israel ke atas Iran.

Tegasnya, Tehran tidak akan teragak-agak untuk mempertahankan kedaulatan, keutuhan wilayah dan rakyatnya.

Beliau menyifatkan serangan Israel itu sebagai satu pelanggaran jelas terhadap Piagam PBB dan prinsip asas undang-undang antarabangsa.

Menurutnya, serangan pengganas tersebut telah menyasarkan infrastruktur awam dan kemudahan nuklear aman yang berada di bawah pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), dan boleh membawa kesan buruk yang dahsyat jika diteruskan.

Iran, katanya, telah menggunakan hak semula jadi untuk mempertahankan diri di bawah Artikel 5 Piagam PBB, dan tindak balasnya adalah sepenuhnya bersifat defensif, terhad dan seimbang, hanya menyasarkan kedudukan ketenteraan dan ekonomi.

Iravani menolak dakwaan Israel bahawa tindakannya adalah untuk mempertahankan diri, sambil menegaskan jika naratif seperti itu diterima pakai secara meluas, ia akan melemahkan salah satu prinsip asas Piagam PBB, larangan terhadap ancaman atau penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa.

“Pengalaman pahit di Gaza, Lubnan, Syria dan Yaman sekali lagi menunjukkan Majlis Keselamatan PBB gagal menjalankan tanggungjawab asasnya dan gagal membendung penceroboh,” katanya sambil mengkritik dasar dwistandard beberapa negara Barat termasuk Amerika Syarikat, Britain dan Perancis. – Agensi

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast