Ahli Sekretariat Nadi Gemilang Amal, Dzul Hilmi Zainol (kiri) bercakap kepada wartawan ketika sidang media bagi menggesa PDRM menyiasat Yusoff Rawther sebagai agen Mossad di hadapan Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 18 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dakwaan kemungkinan Muhammad Yusoff Rawther  sebagai proksi atau ejen kepada agensi perisikan Israel, Mossad.

Gesaan itu dibuat susulan kenyataan terbuka Yusoff pada tahun 2017 yang menyokong kewujudan negara Israel dan menolak hak negara-negara Arab ke atas Baitulmaqdis.

Kenyataan yang dibuatnya itu  masih boleh diakses dan dibaca umum di dalam portal media antarabangsa Israel sehingga hari ini.

Ahli Sekretariat Nadi Gemilang Amal, Dzul Hilmi Zainol berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan pendirian rasmi Malaysia, malah membuka ruang terhadap kemungkinan pengaruh asing dalam negara.

“Kami hadir untuk membuat laporan polis dan mendesak siasatan terhadap Yusoff Rawther.

“Adakah beliau sebenarnya ejen Mossad yang menyusup masuk ke dalam masyarakat Malaysia dengan membawa agenda asing?.

“Negara itu (Israel) tidak pernah kita iktiraf, malah ditolak keras oleh majoriti rakyat Malaysia atas jenayah kemanusiaan yang dilakukannya terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam sidang media sebelum membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, di sini, hari ini.

Menurutnya, kenyataan Yusoff bukan sahaja berbahaya, malah memperlihatkan kemungkinan wujudnya jaringan sokongan terhadap rejim Zionis dalam kalangan rakyat tempatan.

“Lebih mengejutkan apabila masih ada pemimpin politik dan peguam tempatan yang tampil membela beliau.

“Situasi ini seolah-olah kenyataan tersebut tidak menjadi satu masalah besar,” tambahnya

Sementara itu peguam NGO yang hadir, Asheeq Ali Sethi Alivi menasihati Yusoff Rawther agar tidak membiarkan dirinya dipergunakan oleh kuasa luar.

“Kalau benar apa yang anda perjuangkan, berdiri atas kaki sendiri. Jangan jadi alat sesiapa, apatah lagi kepada negara yang menindas dan membunuh rakyat Palestin. Itu sahaja nasihat saya,” katanya.

Sebanyak enam wakil NGO yang berbeza telah hadir bagi membuat laporan polis terhadap Yusoff.

Mereka menegaskan, laporan polis itu bukan bermotifkan fitnah, sebaliknya dibuat demi mempertahankan kedaulatan negara serta sensitiviti rakyat Malaysia yang selama ini berdiri teguh bersama Palestin.

“Sekiranya benar Yusoff Rawther bertindak sebagai ejen atau proksi Israel, kita tidak boleh berdiam diri. PDRM perlu bertindak segera,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast