KUALA LUMPUR – Pemain berdarah warisan baharu Harimau Malaysia, Jon Irazabal, 28, sah meninggalkan Sabah FK di Azerbaijan pada penghujung musim ini.
Perkembangan itu diumumkan pasukan yang beraksi dalam Liga Perdana Azerbaijan itu menerusi satu hantaran di laman media sosialnya.
“Kami mengucapkan selamat tinggal kepada Jon Irazabal yang sudahpun beraksi bersama Sabah sejak 2022 dan kontraknya bakal berakhir pada hujung musim ini.
“Jon sudah beraksi dalam 98 perlawanan bersama Sabah dan menjaringkan enam gol. Beliau memenangi Piala Azerbaijan selain membantu pasukan meraih kedudukan naib juara dan tempat ketiga dalam Liga Perdana Azerbaijan.
Keputusan itu menyaksikan pertahanan tinggi lampai itu terlepas peluang untuk beraksi dalam saingan Liga Europa selepas pasukan itu bakal mengharungi pusingan pertama kelayakan Liga Europa bagi musim 2025/26.
Sebelum ini, pasukan itu pernah bersaing dalam pusingan kelayakan bagi Liga Konferens Eropah pada musim 2023/24 dan 2024/25.
Sebagai rekod, Irazabal membuat kemunculan pertama bersama skuad Harimau Malaya pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 yang menyaksikan skuad negara membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, minggu lalu. – MalaysiaGazette














