KUANTAN – “Sedih sebab sudah berniaga di sini hampir 10 tahun”.
Itu luahan sayu seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan, Azizul Abdul Ghani, 40, yang mengusahakan kedai buah-buahan ketika ditemui di sini hari ini.
Azizul memberitahu, hari ini adalah hari terakhir perniagaannya di lokasi berkenaan kerana tapak kedai itu merupakan sebahagian projek naik taraf Jalan FT 1486 dari persimpangan lampu isyarat Bukit Goh ke Kotasas yang telah bermula sejak setahun yang lalu.
“Sekarang dalam tempoh untuk penghabisan stok buah-buahan sahajalah sebab kawasan belakang kedai pun sudah siap diratakan untuk projek pembesaran jalan tu.
“Cuma sedihlah, sebab perniagaan ini sahajalah punca pendapatan saya,” katanya.

Azizul bersyukur Kerajaan Negeri Pahang sudah memberi pampasan sewajarnya kepada kesemua pemilik kedai yang turut terlibat di lokasi berkenaan.
Dia yang mempunyai masalah kesihatan kegagalan buah pinggang tahap lima dan kencing manis itu bagaimanapun mengakui masih bimbang memikirkan punca pendapatan untuk menampung kehidupan mereka empat sekeluarga buat masa ini.
Lebih-lebih lagi dengan keadaan anak bongsunya berusia sembilan tahun yang masih memerlukan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana didiagnos menghidap Biliary Atrisia (BA).
“Anak bongsu saya itu perlu buat rawatan susulan setiap setahun enam bulan sekali dan saya sendiri pun perlu rawatan susulan pakar buah pinggang sebulan sekali.
“Selain tu, saya juga perlu pergi pemeriksaan susulan setiap tiga bulan sekali untuk pakar mata pula,” jelas Azizul.
Namun dia yang kini menetap di Felda Panching Utara di sini tetap optimis untuk terus maju ke hadapan dan berusaha untuk mendapatkan tapak yang baharu bagi membina semula perniagaannya bersama isteri tercinta.

Jelas Azizul, permohonan tapak perniagaan baharu di lokasi berhampiran telah dilengkapkan dan dihantar kepada pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuantan hari ini.
“Buat masa ini memang saya tidak membuat sebarang permohonan bantuan daripada kerajaan negeri cuma saya mohon supaya belas ihsan pihak PDT untuk boleh saya dapatkan satu tapak untuk perniagaan,” katanya lagi.
Difahamkan, melalui perniagaan pelbagai jenis buah-buahan di sini, Azizul mampu beroleh pendapatan sekitar RM200 sehari atau RM5,000 sebulan.
Bagaimanapun pada hari-hari terakhir perniagaan mereka sejak beberapa hari lepas, dia dan isterinya terpaksa menjual kesemua buah-buahan itu termasuk nenas madu, laici, pisang dan mempelam dengan harga yang jauh lebih murah berbanding kebiasaan. – MalaysiaGazette















