Sebuah kereta peronda polis rosak dan diletakkan di tepi Jalan Austin Heights 7/4, berhadapan Sport Hub, Johor Bahru, Ahad lalu.

JOHOR BAHRU – Tular seorang pemandu kenderaan melakukan provokasi terhadap anggota polis yang meletakkan kereta peronda rosak tanpa meletakkan kon atau tanda amaran di tepi Jalan Austin Heights 7/4, berhadapan Sport Hub di sini pada Ahad lalu.

Menerusi satu rakaman video kamera papan pemuka video berdurasi satu minit 30 saat itu memaparkan kereta polis berkenaan diparkir di tepi jalan itu dalam keadaan gelap.

Pemandu berkenaan kemudian memberhentikan kereta dan menyatakan terkejut sambil mempersoalkan mengapa anggota polis terbabit tidak meletakkan tanda amaran di belakang MPV itu.

Lelaki berkenaan memprovokasi dan tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan anggota polis sebelum mendakwa sekiranya dia melakukan kesalahan pihak berkuasa akan segera menahannya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima teguran pemandu berkenaan untuk membaiki kelemahan yang ada.

Katanya, tiada laporan polis diterima setakat ini berhubung kejadian berkenaan dan tiada keperluan untuk menahan lelaki itu yang melakukan provokasi.

“Hasil semakan mendapati kejadian berlaku pukul 4 pagi, 15 Jun lalu ketika dua anggota polis dari Unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Taman Setia Indah sedang melakukan rondaan menggunakan sebuah Proton Waja milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ketika melakukan rondaan, kereta itu mengalami masalah teknikal melibatkan sistem pendawaian lampu hadapan, belakang serta lampu mata arah (beacon light), menyebabkan kesemua lampu gagal berfungsi,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, akibat masalah itu, kereta Proton Waja tidak boleh digerakkan dan anggota terlibat berhenti di lokasi yang sesuai bagi menunggu bantuan dari bahagian penyelenggaraan.

“Ketika anggota polis menunggu bantuan, seorang lelaki yang memandu kenderaan persendirian telah menghampiri lokasi dan mempersoalkan kehadiran mereka sebelum bertindak melakukan provokasi.

“Anggota polis kemudiannya telah memberikan penjelasan mengenai kerosakan kenderaan namun lelaki berkenaan tetap bertegas sebelum meninggalkan lokasi,” katanya.

Beliau memandang serius penularan video berkenaan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti anggota bertugas.

Raub menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dalam media sosial.

Sebarang maklumat atau aduan boleh disalurkan ke balai polis berdekatan atau menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-218 2323  bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast