Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Mesyuarat Meja Bulat Asia Pasifik ke-38 (APR) di Hilton Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 19 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia kekal konsisten memperjuangkan kadar tarif yang adil semasa rundingan bersama Amerika Syarikat (AS) sambil membawa suara ASEAN sebagai blok serantau yang kukuh dan bersatu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perbincangan mengenai isu tarif timbal balas antara kedua-dua negara sedang berjalan dengan baik dan menunjukkan perkembangan positif setakat ini.

Kata beliau, rundingan itu diketuai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika ini sedang berada di Washington bagi membincangkan tindakan tarif yang dikenakan semula oleh AS terhadap beberapa negara membangun termasuk Malaysia.

“Perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan dan wakil AS berlangsung dengan cemerlang, dan kita bukan sahaja membentangkan kepentingan Malaysia, tetapi turut mengemukakan kes untuk ASEAN secara keseluruhan,” katanya.

Delegasi yang hadir ke Mesyuarat Meja Bulat Asia Pasifik ke-38 (APR) di Hilton Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 19 JUN 2025

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Meja Bulat Asia Pasifik (APR) Ke-38 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia di ibu negara, hari ini.

Menurut Anwar, Malaysia melihat isu perdagangan bukan sekadar hubungan dua hala tetapi dalam konteks kepentingan serantau yang lebih luas.

“Saya menggesa rakan-rakan dalam ASEAN untuk turut menyuarakan pendirian bersama dan memastikan blok ini terus berperanan sebagai satu entiti ekonomi yang berkesan dan dihormati,” tambahnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast