Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi untuk menghalang penerbitan semula kandungan -kandungan daripada dua saluran di platform Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas.

Ia adalah susulan permohonan MCMC untuk memfailkan tindakan sivil terhadap kedua-dua saluran berkenaan yang dikenal pasti menyebarkan kandungan yang didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Suruhanjaya itu dalam kenyataannya berkata, ia dalah langkah terakhir bagi menghentikan penyebaran kandungan memudaratkan tersebut serta menghalang penerbitan semula kandungan- kandungan seumpamanya.

“Tindakan ini diambil demi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam terus dilindungi.

“Pihak Telegram akan diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi,” katanya.

Menurut MCMC tindakan tersebut merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya kerana Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)].

Ia susulan kegagalan serius Telegram untuk menangani kandungan yang telah berulangkali dilaporkan kepada pihak mereka, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan oleh MCMC.

“MCMC sebagai badan kawal selia ingin mengingatkan bahawa semua penyedia platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan di ruang digital masing-masing.

“MCMC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sama untuk platfform lain juga bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna terus terpelihara,” katanya lagi.

Tambahnya, MCMC kekal komited dalam memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan selari dengan undang-undang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast