KUALA LUMPUR – Pertubuhan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) hendaklah berhenti daripada membicarakan hal dan perkara mengenai Islam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini.
Malah peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menegaskan, kerajaan juga hendaklah memberhentikan sebarang rujukan kepada syarikat tersebut berkenaan agama Islam.
Beliau yang juga Pengerusi Pembela berkata perkara itu memandangkan Mahkamah Persekutuan secara majoriti telah memutuskan SIS Forum Malaysia bukanlah entiti yang menganut agama Islam (dalam ertikata lain bukan Islam).
“Bukan Islam tidak boleh mencampuri urusan Islam sebagaimana orang Islam tidak mencampuri urusan orang bukan Islam,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Mahkamah Persekutuan hari ini berpendirian fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan SIS Forum sebagai sesat dan menyeleweng serta tidak terpakai kepada pertubuhan itu.
Dalam keputusan majoriti 3-1, panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum kerana ia sebuah syarikat bukan individu yang menganut agama Islam.
Sebaliknya Tengku Maimun berpendapat, mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut kekal terikat dengan fatwa tersebut di bawah perenggan satu dan empat. – MalaysiaGazette
















