Bayangkan anda sedang melayari TikTok pada waktu malam. Tiba-tiba muncul video pendek bertajuk “Tanda-tanda anda mungkin ada anxiety”. Isi kandungan ringkas dan mudah – jantung berdebar, sukar tidur, berfikir berlebihan. Lalu anda mula tertanya-tanya, “Adakah aku juga menghidap gangguan anxiety?”
Inilah antara contoh bagaimana media sosial kini menjadi rujukan utama untuk ramai dalam mengenal pasti kesihatan mental masing-masing. Trend mendiagnosis diri sendiri atau self-diagnose semakin berleluasa, khususnya dalam kalangan generasi muda. Video-video pendek berkaitan kemurungan, ADHD, serangan panik dan gangguan bipolar bukan sahaja tular, malah menjadi antara kandungan paling digemari dan dikongsi.
Fenomena ini menunjukkan satu perkembangan yang positif dari sudut kesedaran awam. Topik kesihatan mental yang dahulu dianggap taboo kini menjadi bahan perbualan terbuka. Ramai individu tampil berkongsi pengalaman peribadi, memberi sokongan emosi sesama sendiri, dan menghapuskan stigma yang selama ini membelenggu masyarakat.
Generasi muda dilihat lebih berani untuk mengakui bahawa mereka sedang bergelut secara emosi dan mental — sesuatu yang tidak pernah berlaku secara terbuka satu ketika dahulu.
Namun begitu, dalam keterbukaan ini tersembunyi juga risiko yang membimbangkan. Tidak semua informasi di media sosial sahih atau diperakui oleh pakar kesihatan mental. Apabila seseorang mendiagnosis dirinya hanya berdasarkan senarai simptom yang dikongsi dalam video ringkas tanpa penilaian klinikal, ia boleh menyebabkan kesilapan dalam memahami keadaan sebenar.
Simptom seperti keletihan, sukar fokus, atau perubahan mood boleh berpunca daripada pelbagai faktor lain seperti tekanan kerja, kurang tidur, atau masalah fisiologi; bukan semestinya gangguan mental.
Lebih membimbangkan apabila ada yang mula menggunakan label seperti “aku ni memang ADHD”, “aku ni bipolar sikit” atau “aku trauma sejak kecil” tanpa memahami maksud sebenar istilah tersebut dari sudut perubatan.
Penggunaan label secara sembarangan boleh menyebabkan seseorang ‘terperangkap’ dalam identiti yang tidak tepat dan tidak berusaha mendapatkan rawatan sebenar. Malah, ia boleh mewujudkan normalisasi terhadap gejala yang serius — seolah-olah ia sesuatu yang biasa dan tidak memerlukan intervensi.
Dalam hal ini, masyarakat perlu lebih celik dan berwaspada. Ya, media sosial boleh menjadi alat kesedaran, tetapi ia bukan saluran rasmi untuk diagnosis. Hanya ahli psikologi, kaunselor atau psikiatri yang bertauliah boleh menjalankan penilaian yang menyeluruh. Pendidikan mengenai kesihatan mental juga perlu diperkukuh melalui sistem pendidikan formal, program tempat kerja dan kempen kesedaran di peringkat akar umbi; bukan hanya bergantung kepada video TikTok berdurasi 60 saat.
Sebagai pengguna media sosial, kita juga harus memainkan peranan. Tapis kandungan yang diterima, semak sumber maklumat, dan elakkan menyebarkan maklumat yang boleh mengelirukan orang lain. Jika kita benar-benar prihatin tentang kesihatan mental, maka tindakan terbaik adalah mendapatkan bantuan profesional; bukan sekadar mendiagnosis diri sendiri berdasarkan trend semasa.
Trend self-diagnose ini adalah isyarat jelas bahawa semakin ramai mahu memahami dan menangani isu mental secara terbuka. Namun keterbukaan tanpa bimbingan boleh membawa mudarat. Dalam soal kesihatan mental, kita perlukan keseimbangan antara empati dan ilmu, antara pengalaman peribadi dan bimbingan profesional.
Kerana kesihatan mental bukan sekadar isu viral. Ia soal kesejahteraan hidup. Ia juga boleh menjadi persoalan antara hidup dan mati.
Oleh, Noor Azwani Asyikin Samad
Penolong Pendaftar, Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA)
UiTM Shah Alam
-MalaysiaGazette
















