Raub menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam empat serbuan, selepas sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis berjaya mematahkan satu sindiket pengedaran dadah bernilai lebih RM1.28 juta melibatkan empat serbuan di sekitar daerah ini pada Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, enam rakan sejenayah terdiri daripada lima lelaki termasuk seorang warga Singapura dan seorang wanita Thailand berusia antara 30 hingga 39 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.

“Sindiket ini didalangi seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang baharu dua bulan aktif.

“Kita telah melakukan risikan selama seminggu ke atas sindiket ini dan mendapati mereka menjadikan pangsapuri berpagar dan berpengawal sebagai tempat membungkus dan menyimpan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Lokasi serbuan adalah dua inap desa dan sebuah pangsapuri yang mana mereka akan menyewa dalam tempoh yang singkat dengan caj kira-kira RM300 sehari dan kemudian berpindah ke lokasi lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini..

Katanya, di pangsapuri itu mereka menyewa dua unit rumah yang mana satu dijadikan stor dan satu sebagai tempat kediaman bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Raub berkata, dalam semua serbuan itu, pihaknya merampas 7,669.5 gram serbuk ekstasi; 13.6 gram ketamin dan lapan gram pil eramin 5 yang semuanya berjumlah lebih RM1.28 juta.

Katanya, polis turut menyita wang tunai RM3,000; dua buah kereta dan pelbagai barang kemas menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan siataan melebihi RM1.48 juta.

“Sindiket ini akan memproses dan membungkus semula dadah dalam paket yang lebih kecil yang kelihatan seolah jus minuman tiga dalam satu (3 in 1) yang mana ia akan dijual dengan harga antara RM150 hingga RM300 sepaket.

“Siasatan setakat ini mendapati mereka menjual dadah ini dalam negeri ini kepada kenalan-kenalan mereka,” ujarnya.

Menurut Raub, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif methamphetamine, manakala semakan rekod lampau mendapati dua suspek tempatan mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.

Semua suspek katanya, kini ditahan reman selama 12 hari bermula 13 Jun lalu hingga 24 Jun ini bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, jelasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast