Gerakan Anak Muda dan Mahasiswa Anak Sabah (GAMMAS)

KUALA LUMPUR – Gerakan Anak Muda dan Mahasiswa Anak Sabah (GAMMAS) akan meneruskan perhimpunan aman bagi menzahirkan sokongan kepada Kerajaan Negeri Sabah di Jalan Gaya, Kota Kinabalu bermula 21 hingga 22 Jun ini.

GAMMAS menerusi kenyataannya berkata, meskipun terdapat cubaan pihak tertentu menghalang perhimpunan anak muda dan mahasiswa itu, namun mereka tidak gentar demi kestabilan Kerajaan Negeri Sabah.

“Perhimpunan ini bukan mahu menyaingi perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa.

“Sebaliknya ingin memberi penerangan kepada umum bahawa majoriti pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebenarnya tidak menyokong perhimpunan yang dianjurkan oleh Suara Mahasiswa UMS ini.

“Meskipun perhimpunan ini cuba dihalang oleh beberapa pihak namun perhimpunan ini tetap akan diteruskan,” kata GAMMAS menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, GAMMAS sudah menghantar notis perhimpunan aman itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada 16 Jun lalu.

Selain itu, perhimpunan aman itu bertujuan untuk menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan GRS-PH agar terus diberikan mandat mentadbir negeri itu.

“Hajiji dan Kabinetnya bertindak dengan amat baik bagi menjaga kebajikan mahasiswa dan anak muda Sabah melalui program bantuan melalui one-off sekali bayar RM300.

“Malah program SENTOSA bagi mereka yang belajar di Sabah, bantuan RM1,500 hingga RM2,000 program BUDI, tiket penerbangan (SUBFLY) bantuan biasiswa sehingga RM50 juta, bantuan laptop dan bantuan lainnya,” katanya.

Menurut GAMMAS, Kerajaan GRS-PH juga telah menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di Sabah.

“Ini dapat dilihat daripada usaha Kerajaan Negeri Sabah yang berjaya menarik pelaburan luar menerusi pembinaan kilang Kibing dan Nexilis di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP),” katanya.

Selain itu, penganjuran perhimpunan itu bertujuan untuk menyatakan sokongan usaha untuk mempertahankan institusi Istana sebagai simbol perpaduan kepada pelbagai etnik, agama dan kaum di Sabah.

“Usaha ini untuk memastikan institusi Istana di Sabah tidak terus dihina khususnya bagi mereka yang mempunyai agenda jahat bermotifkan politik dan bagi mereka yang berasal dari Semenanjung,” katanya.

Katanya GAMMAS lagi, perhimpunan ini turut mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk mengheret bekas pemimpin Sabah yang terpalit dengan skandal rasuah.

“Kesaksamaan dalam membanteras salah laku rasuah mengikut peruntukan undang-undang.

“Atas dasar itu, SPRM wajib membuka semua kertas siasatan rasuah peruntukan luar bandar berjumlah RM1.5 billion ke atas Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast