KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) merekodkan kedudukan tertinggi dalam sejarahnya menerusi QS World University Rankings (QS WUR) 2026, dengan lonjakan sebanyak 45 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-542 di peringkat global.
UiTM dalam satu kenyataan semalam berkata, pencapaian itu menandakan satu mercu kejayaan penting buat universiti tersebut, yang kini berada dalam kelompok 36 peratus teratas daripada 1,501 institusi terkemuka dunia.
Menurutnya, pencapaian itu juga mengukuhkan lagi kedudukan UiTM sebagai pemain utama dalam arena akademik antarabangsa.
“Dengan tumpuan berterusan terhadap transformasi strategik, penyertaan penyelidikan antarabangsa dan pembangunan kampus mampan, peningkatan UiTM ini bukan sekadar angka sebaliknya mencerminkan usaha gigih sebuah universiti yang terus memperkukuh kedudukannya di peringkat global,” katanya.
Menerusi penarafan terbaharu itu, UiTM berada di kedudukan teratas bagi skor jaringan penyelidikan antarabangsa untuk tahun ketiga berturut-turut, sekali gus menggambarkan kerjasama antarabangsa yang semakin kukuh.
Lebih membanggakan, prestasi kelestarian universiti itu melonjak sebanyak 250 peratus, memperlihatkan kejayaan UiTM dalam melaksanakan konsep kampus hijau dan inisiatif lestari yang berterusan.
Sementara itu, skor reputasi akademik UiTM pula kekal kukuh dan terus meningkat untuk tahun keenam berturut-turut, apabila naik 21 anak tangga daripada kedudukan ke-288 kepada 267.
UiTM turut tersenarai dalam 10 universiti terbaik di Malaysia dari segi reputasi majikan daripada 32 institusi yang dinilai di seluruh negara.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib berkata, pencapaian itu bukan sekadar mewakili angka, sebaliknya adalah lambang ketekunan dan kesepaduan warga universiti dalam mencapai kecemerlangan.
“Ketika kita melakar hala tuju Visi UiTM2030, kami kekal teguh dalam komitmen melahirkan graduan Bumiputera yang bersedia menghadapi masa depan dan beraspirasi global,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan itu turut menyuntik semangat baharu untuk merealisasikan aspirasi UiTM2030 dalam menjadi universiti tersohor di peringkat antarabangsa serta meneruskan misi memperkasakan generasi masa depan melalui pendidikan yang berdaya saing global. – MalaysiaGazette
















