KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup dadah menggunakan dua bot fiber berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi bersepadu di perairan berhampiran Taman Nilam, di Langkawi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3 petang kelmarin ketika rondaan rutin di bawah pelaksanaan Op Aman, Op Tiris 3.0. Op Mardof Utara 1/2025.
“Operasi dijalankan bersama Jabatan Laut Malaysia (JLM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Pasukan Polis Marin (PPM).
“Dua bot fiber yang bergerak dalam keadaan mencurigakan dikesan dan berjaya ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia. Pemeriksaan mendapati kedua-dua bot melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, salah seorang tekong bertindak melarikan diri dengan memecut ke kawasan cetek sebelum terjun ke sungai untuk meloloskan diri.
Pemeriksaan lanjut ke atas bot menemukan 21 paket kecil straw, lima paket lutsinar disyaki mengandungi syabu, satu paket disyaki morfin serta beberapa peralatan pembungkusan dadah.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan mencecah RM41,000. Kedua-dua bot dan semua barang kes telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Romli menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana aktiviti jenayah maritim dan akan terus mempertingkat rondaan serta operasi penguatkuasaan, khususnya di perairan Kedah dan Perlis.- MalaysiaGazette















