JOHOR BAHRU – Pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud menyifatkan Zaleha Hamid yang menghembuskan nafas terakhir malam tadi sebagai antara penyanyi terhebat bagi aliran muzik dangdut pada era 80-an.
Nasib berkata, walaupun Search dan Zaleha masing-masing meningkat naik pada era itu, mereka jarang berkongsi pentas kerana membawa genre muzik yang berbeza.
Bagaimanapun, beliau tetap menghormati Zaleha Hamid sebagai seorang penggiat seni seangkatan dan sezaman yang telah mewarnai dunia seni hiburan negara.
“Beberapa bulan lalu, saya bersama isteri ada melawat Arwah di rumahnya setelah mendapat tahu dia sakit.
“Semasa melawat, arwah masih kenal saya malah bertanya khabar mengenai Amy dan Hillary serta anggota kumpulan yang lain.
“Bagi pihak keluarga saya dan keluarga Search, merakamkan perasaan sedih dan takziah kepada seluruh keluarga Arwah,” katanya ketika ditemui Masjid Al Asma’ul Husna, Tampoi, di sini hari ini.
Zaleha atau nama penuhnya Siti Zaleha Abdul Hamid, 68, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pukul 8.30 malam di sisi suami dan ahli keluarganya.
Allahyarhamah meninggalkan suami, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 60, dan tiga anak iaitu Zalisham Samsudin, 48; Ungku Chik Zafierul Azman, 37, dan Ungku Nor Muhammad Danial, 28, termasuk enam cucu.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, di sini, selepas solat Jumaat.
Zaleha digelar Ratu Dangdut Malaysia dan Singapura dikenali menerusi lagu hitsnya seperti Dangdut Reggae, Kerana Pengalaman, Nasib Janda, Jangan Kau Tangiskan dan Kekasih di Tangan Orang.
Bercerita lanjut, Nasir memberitahu, dia mengenali Zaleha sejak muncul dalam kancah seni sekitar tahun 80-an.
Beliau berharap keluarga Allahyarham tabah menerima pemergian penyanyi tersebut buat selamanya.- MalaysiaGazette















