KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kedai tayar maut selepas kepalanya terhentak pada tayar yang meletup ketika diisi angin di sebuah premis di Jalan Durok, di Keningau, petang semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 4 petang, mangsa dikenali sebagai Arizal Etin, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, berdasarkan maklumat saksi kejadian yang juga rakan sekerja, mangsa dilihat sedang mengepam angin tayar, sebelum ia meletup dan terkena mangsa.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis turut mengesahkan kejadian tersebut,” katanya.
Yampil berkata, pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan lain yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















