MELAKA – Wanita yang kehilangan bayi lelaki berusia tiga bulan dan suaminya dalam kejadian tragis pagi semalam sudah memaklumkan kepada pegawainya untuk keluar membawa anaknya itu ke klinik kesihatan bagi pemeriksaan susulan dan suntikan.
Azura Abd Malek Yaher, 37, berkata, penjelasan itu diharap dapat menghentikan tohmahan warga net yang mendakwa seolah-olah dia tidak jujur dalam melaksanakan tugas sebagai pembantu tadbir di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
“Saya dah maklumkan kepada pegawai saya dan biasanya selepas balik dari klinik kesihatan, baru saya akan sertakan surat ‘time slip’ yang dikeluarkan oleh klinik sebagai bukti.
“Tambahan pula, dalam buku biru arwah anak pun ada dicatitkan untuk pemeriksaan susulan dan mendapatkan suntikan tiga bulan semalam,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka, semalam.
Terdahulu, timbul pertikaian dalam kalangan warga net mengenai tindakan Azura yang pulang ke rumah sekitar 10 pagi selepas memasukkan kad perakam waktu kerja membuktikan dia berada di pejabat.
Ia selepas adik iparnya, Masturadiana Ibrahim, 33 menceritakan tindakan kakak iparnya itu yang telah membongkar insiden menyayat hati itu apabila suaminya, Nuruleffendy Ibrahim, 35, dan anak bongsunya, Nur Muhammad Danial Nuruleffendy, 3 bulan, ditemukan sudah meninggal dunia.
Dalam kejadian tragis kira-kira 9.30 pagi itu, Nur Muhammad Danial lemas dipercayai akibat ditindih lengan bapanya itu yang bekerja sebagai mekanik menemui ajal akibat serangan jantung.
Kejadian berlaku di rumahnya di Kampung Perigi Hang Tuah, Duyong, di sini ketika hanya dua beranak itu berada di rumah manakala dua lagi anaknya berusia 16 dan 15 tahun berada di sekolah.
Semalam adalah hari pertama Azura bekerja selepas cuti bersalin tiga bulan dan sudah mencari pengasuh sesuai untuk menghantar bayinya itu yang sepatutnya bermula 1 Julai ini. – MalaysiaGazette

















Pengorbanan masa seorang isteri B4 yang bekerja keras untuk keluarganya tapi dipandang serong oleh masyarakat…