Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengeluar rokok elektronik, Nanostix Innovations Sdn Bhd (Nanostix) mencadangkan agar Majlis Pemantauan Vape Malaysia diwujudkan dalam usaha membanteras penyalahgunaan vape mengandungi dadah.

Pengarah Urusannya, Shahabudeen Jalil berkata, majlis itu bertujuan untuk memantau aspek kawal selia industri vape di semua peringkat, dari pengilangan, pengedaran, kawalan produk hingga ke penguatkuasaan di lapangan.

“Nanostix menawarkan diri untuk menerajui majlis ini bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa.

“Penyalahgunaan dadah melalui peranti vape yang muncul kini menjadi satu cabaran baharu yang tidak boleh dipandang ringan.

“Sebagai syarikat tempatan yang berdaftar dan mematuhi piawaian ketat kawal selia, Nanostix komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam membanteras penyalahgunaan ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar semua pihak mengambil langkah segera menyelesaikan isu dadah dan penggunaan rokok elektronik (vape) dalam kalangan anak-anak muda.

Pengarah Urusan Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil

Beliau menegaskan, perkara tersebut dilihat sudah membarah dan perlu penyelesaian segera agar tidak menjadi lebih serius.

Dalam pada itu, Nanostix juga mencadangkan agar kerajaan melakukan sekatan ketat ke atas pengimportan peranti dan cecair vape dari luar negara, terutamanya yang tidak berdaftar.

“Ini kerana ia menjadi antara punca utama produk dicemari dengan dadah atau bahan terlarang.

“Langkah proaktif adalah mengharamkan terus import vape dan cecair dari luar negara,” katanya.

Selain itu, kata Shahabudeen, peranti vape jenis “open pod” serta cecair isian semula yang dijual secara terbuka harus diharamkan sepenuhnya kerana ia terbukti mudah dimanipulasi untuk dicampur dengan bahan terlarang.

“Sebaliknya, hanya peranti jenis ‘close pod’ (sistem tertutup) yang dikawal, dipantau, dan berdaftar sepenuhnya perlu dibenarkan dalam pasaran.

“Sistem ini lebih selamat dan menyukarkan manipulasi kandungan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Shahabudeen turut mencadangkan pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan di sempadan pintu masuk negara untuk mengekang penyeludupan vape dan cecair haram.

“Selain itu, pemantauan premis-premis jualan secara berkala juga perlu dilakukan dengan peranan agensi penguatkuasaan yang jelas,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyarankan hanya produk daripada syarikat berdaftar, mematuhi garis panduan ketat termasuk ujian makmal, kod keselamatan dan semakan usia pembeli dibenarkan berada dalam pasaran.

“Ini akan menyekat penjualan vape tiruan dan tidak beretika.

“Pelekat label cukai pada produk vape perlu dilaksanakan bagi membezakan produk yang sah dan haram,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak berkaitan wajar diberi mandat untuk menjalankan program pendidikan dan kesedaran kepada pelajar serta belia mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam vape.

“Ia adalah satu pelaburan jangka panjang dalam membentuk generasi bebas dadah.

“Oleh itu, adalah penting untuk membezakan industri vape sah dan dikawal, daripada aktiviti haram yang menyeleweng dan merosakkan matlamat asal kawal selia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast