Mohamed Khaled menunjukkan halia yang baru dipetik selepas Majlis Perasmian Tuaian Halia Bentong Muda di Kampung Gembut, Tanjung Sedili, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Konflik yang berlaku di antara Iran dan Israel ketika ini jika tidak dibendung akan merebak menjadi perang dunia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, apabila perang dunia tercetus akan memberi kesan terhadap dunia terutama melibatkan aktiviti perdagangan.

“Semua negara akan terjejas kerana tentunya harga minyak akan naik, bekalan-bekalan akan terputus dan perdagangan bebas dunia akan terjejas.

“Kita tahu negara kita adalah negara dagang maka akhirnya rakyat juga terjejas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Tuaian Halia Bentong Muda di Kampung Gembut, Tanjung Sedili di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memantau perkembangan konflik itu serta pada masa sama dapat melihat jenis dan penggunaaan teknologi dalam perang tersebut.

“Ini sangat penting dalam kita memastikan kita dapat menyediakan pertahanan negara pada tahap yang lebih baik,” ujarnya.

Ditanya sama ada Kementerian Pertahanan terlibat dalam usaha membantu rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka di Iran kembali ke tanah air, beliau berkata, pihaknya tidak terlibat dalam proses tersebut.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu memberitahu, ini kerana tidak ada sebarang penerbangan dibenarkan setakat ini ke Iran kerana konflik tersebut dan bilangan rakyat Malaysia juga tidak ramai di negara itu.

“Mereka akan dibawa keluar dengan menggunakan jalan darat ke negara Turkmenistan sebelum diterbangkan dengan pesawat-pesawat komersial biasa untuk pulang ke negara ini.

“Kita (Kementerian Pertahanan) tidak akan membantu kerana jika kita masuk ke Iran akan dilihat membantu Iran,” ujarnya.

Semalam, Kementerian Luar kini dalam peringkat akhir memuktamadkan usaha membantu rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka di Iran kembali ke tanah air.

Menerusi satu kenyataan dalam Facebook, kementerian berkenaan memaklumkan bahawa individu yang telah bersetuju menyertai proses evakuasi dijangka berlepas dari Tehran, semalam.

“Kementerian bekerjasama rapat dengan perwakilan-perwakilan Malaysia yang terbabit, sedang memastikan perjalanan pulang rakyat Malaysia dan ahli keluarga dapat dilaksanakan dengan segera, lancar dan selamat.

“Kami menantikan kepulangan mereka ke tanah air,” menurut hantaran itu.

Rabu lalu, Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Masani, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, bahawa Malaysia akan memindahkan rakyatnya dari Iran pada Jumaat, berikutan peningkatan risiko keselamatan ekoran ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara berkenaan.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast