GEORGE TOWN – Seorang pelajar perubatan hampir meninggalkan pengajian akibat tunggakan yuran namun hasil bantuan kewangandisalurkan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim kini dia berjaya menamatkan pengajiannya dan bergelar doktor.
Menurut Steven di Facebooknya, Saundarya mempunyai tunggakan yuran berjumlah RM18,000, berdepan risiko tidak dibenarkan menduduki peperiksaan akhir sekiranya bayaran tidak dijelaskan dalam tempoh beberapa hari.
“Keluarganya ketika itu tidak mampu menampung kos berkenaan susulan ayahnya seorang pemandu lori berusia 60 tahun manakala ibunya pula bekerja sebagai penoreh getah.
“Menyedari situasi itu, saya membantu dengan melunaskan bayaran penuh yuran tersebut pada Disember tahun lalu selepas menerima surat permohonan bantuan daripada pelajar berkenaan.

“Hutang yuran itu terlalu tinggi untuk keluarga biasa tapi ayahnya tetap berusaha agar anaknya dapat meneruskan pengajian. Saya pergi sendiri ke rumah mereka dan dari situ saya tahu, ini bukan soal akademik sahaja tapi soal masa depan sekeluarga,” katanya hari ini..
Tambah Steven, selepas lima tahun menempuh pelbagai cabaran, Saundarya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan dengan cemerlang termasuk menerima tiga Anugerah Dekan serta pingat pelajar terbaik.
“Saya turut dijemput ke majlis konvokesyen Saundarya baru-baru ini, sebagai tanda penghargaan daripada keluarga pelajar tersebut.
“Bagi saya, tidak perlu balasan tapi saya pesan kepada Saundarya, bila memakai kot putih nanti, ingat susah payah dulu dan rawat pesakit bukan hanya dengan ilmu tetapi dengan hati,” katanya.
Dr. Saundarya dijadualkan memulakan tugas di sebuah hospital di Pulau Pinang minggu hadapan. – MalaysiaGazette
















