Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad bercakap pada Sesi Town Hall Rakyat Mencari Kebenaran`Antara Dua Titah' ketika di KL Gateway, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Tiada undang-undang persekutuan yang meletakkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) terikat kepada nasihat Lembaga Pengampunan.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, titah pengampunan adalah kuasa mutlak Seri Paduka dan ia tidak boleh dipertikaikan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Akademi Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Rasuah (AMLAC) menjelaskan, keputusan dan titah Seri Paduka Baginda tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak.

“Kita berhadapan dengan titah diraja. Ia bukan arahan oleh menteri. Titah berkenaan adalah kuasa mutlak YDPA,” ujarnya pada sesi Town Hall Rakyat Mencari Kebenaran`Antara Dua Titah’ di sini hari ini.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad bercakap pada Sesi Town Hall Rakyat Mencari Kebenaran`Antara Dua Titah’ ketika di KL Gateway, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 JUN 2025.

Beliau menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh moderator Kamarudin Ahmad bahawa titah pengampunan adalah hak prerogatif YDPA.

Kamarudin menyatakan, titah adendum yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki tempoh tahanan hukuman penjara di rumah itu disahkan wujud.

Oleh yang demikian, Kamarudin mencadangkan bahawa kerajaan dan bekas Perdana Menteri sepatutnya menarik permohonan masing-masing yang telah dikemukakan di mahkamah.

Mengulas perkara itu, Dzulkifli berpendapat, keputusan untuk menarik balik permohonan perlu bersandarkan kepada kesungguhan kedua-dua pihak.

Ujar beliau, oleh kerana titah itu sudah disahkan wujud, Peguam Negara sepatutnya bersetuju dengan permohonan semakan Najib dan seterusnya menarik balik rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Isunya sekarang bukan lagi hal perundangan sebaliknya bagaimana ia dilaksanakan. Hujung-hujung kita akan pertikai titah Agong walhal baginda tidak terikat kepada Lembaga Pengampunan,” ujar Dzulkifli lagi.

Najib menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau sepatutnya dibebaskan Ogos tahun depan.

Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Najib boleh mohon parol seawal September ini – Shafee

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast