KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan individu membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa satu protes di Kota Kinabalu disifatkan sebagai tidak wajar dan mencemari amalan demokrasi yang sihat di negara ini.
Menurut Pengarah Strategi Keadilan Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad, walaupun rakyat berhak menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, tindakan melampau seperti membakar gambar atau simbol pemimpin hanya akan merosakkan keharmonian serta mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
“Perbuatan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia mampu menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat. Tindakan sedemikian tidak membantu tuntutan yang ingin disampaikan, malah ia mencemarkan semangat demokrasi dan dialog sihat yang seharusnya kita amalkan,” katanya dalam kenyataan.
Saifuddin berkata, insiden itu turut memberi isyarat jelas wujud jurang persepsi dan keresahan yang perlu ditangani secara terbuka, bukan dengan kemarahan mahupun konfrontasi.
“Dalam sebuah negara demokrasi, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dan wajar diraikan. Namun ia perlu disampaikan melalui saluran yang betul serta dalam semangat perbincangan yang berhemah,” tambahnya.
Beliau menyeru semua pihak, termasuk penyokong kerajaan, agar tidak bertindak balas secara emosional terhadap tindakan provokatif itu.
“Kita sebagai masyarakat Madani perlu menunjukkan kematangan dalam menangani perbezaan pendapat. Pendekatan konfrontasi hanya akan melebarkan jurang, bukan membina jambatan persefahaman,” katanya lagi.
Saifuddin juga menyarankan agar kerajaan mengambil pendekatan yang inklusif dan mendengar dengan terbuka segala bentuk keluhan rakyat, walaupun disampaikan dalam nada keras atau membingungkan.
“Jangan terus menghukum, sebaliknya ambil peluang ini untuk berdialog, memahami, dan menjelaskan dasar-dasar kerajaan secara telus. Malaysia Madani bukan tentang menolak kritikan, tetapi membina ruang dialog yang membina dan berteraskan nilai keadilan serta kemanusiaan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan Malaysia merupakan negara berbilang kaum dan kaya dengan budaya yang menjunjung nilai perpaduan.
“Marilah kita menyalurkan ketidakpuasan secara bertanggungjawab dan bijaksana, tanpa mengorbankan keharmonian serta semangat kebersamaan yang telah lama kita bina,” kata Saifuddin. -MalaysiaGazette















